Jangan Buat PRU Sekarang – SPR

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak diadakan dalam tempoh terdekat berikutan peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata penularan wabak itu di luar kawalan SPR walaupun pelbagai prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan bagi mengekang virus terbabit.

“Masalah utama yang saya lihat adalah penjarakan fizikal. Sama ada secara sengaja atau sebaliknya, penjarakan fizikal sukar diamalkan. Ini adalah isu utama berbanding pemakaian pelitup muka.

“Saya berharap PRU yang akan datang tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, memang sukar untuk mengadakan PRU dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Abdul Ghani berkata, SPR tiada masalah untuk melaksanakan pilihan raya kerana sentiasa bersedia, namun berharap keadaan COVID-19 di Malaysia terkawal terlebih dahulu.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, beliau berkata, SPR akan melakukan bedah siasat bagi menambah baik perjalanan pilihan raya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata SOP lebih ketat perlu jika kerajaan berhasrat mengadakan PRU dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, beliau berharap, ia tidak akan dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Kita dapat lihat ketika PRN Sabah, memang berlaku pelanggaran SOP, tetapi bukan dalam semua keadaan. Masih ramai yang ikut dan patuh SOP. 

“Justeru, untuk PRU akan datang, SOP lebih ketat diperlukan kerana keselamatan adalah soal utama. Biarlah PRK diadakan dalam keadaan yang lebih bersedia,” katanya.

Kemungkinan PRU-15 diadakan lebih awal adalah susulan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 September lalu. Penggal PRU-14 akan berakhir pada 8 Mei 2023, lima tahun selepas pilihan raya dilangsungkan pada 9 Mei 2018.

Perdana Menteri memberi bayangan ia mungkin diadakan lebih awal sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi PRN Sabah.

Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 sejurus PRN di negeri berkenaan dan turut menular ke Semenanjung, kini mendatangkan kebimbangan mengenai kesan mengadakan PRU dalam tempoh terdekat.

Pada PRN Sabtu lalu, GRS yang membabitkan Perikatan Nasional (BN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menang 38 daripada 73 kerusi dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas. – BH Online

Loading...