“Jangan Beli Wakil Rakyat, Beli Rakyat” – Hadi

MARANG – PAS bertegas mahu Parlimen dibubarkan dan kuasa memilih kerajaan diserahkan kembali kepada rakyat melalui pilihan raya umum sebagai jalan penyelesaian kemelut politik negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga tidak lagi menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana Perdana Menteri Interim itu sudah hilang sokongan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.

“Oleh kerana orang tidak sokong jadi tidak ada makna kita sokong, suara tidak cukup.

“Asalnya kita cadang usul di Parlimen sokong Tun Mahathir tetapi respon tidak positif. Semua termasuk DAP, PKR tidak lagi menyokong, UMNO pun tidak sokong jadi tidak ada makna kita sokong.

“Banyak kecelaruan. Jadi baik serah kepada rakyat (buat PRU),” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan wujudnya usaha membeli undi ahli parlimen, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan itu menguatkan lagi harapan Pas agar pilihanraya umum diadakan.

“Diberitakan begitulah (beli undi), lebih baik serah kepada rakyat. Nak beli, beli rakyatlah (PRU) jangan beli wakil rakyat, bubar parlimen.

“Kita bersedia PRU bila-bila masa,” katanya. – Sinar Harian

Loading...