Jangan Beli, Ambil Produk Skinny Lolita, Xtreme Candy – KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai tidak membeli atau mengambil produk Skinny Lolita dan Xtreme Candy yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Skinny Lolita dikesan mengandungi Sibutramine dan Xtreme Candy pula mengandungi Tadalafil berdasarkan analisa makmal dijalankan pihak Health Science Authority (HSA), Singapura.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata semakan mendapati Skinny Lolita adalah produk tidak berdaftar dengan KKM.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 81 paket produk itu dirampas Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM dengan nilai RM1,620.00.

Katanya, bagi Xtreme Candy pula, setakat ini, tiada produk itu ditemui di pasaran di Malaysia.

“Bagi kedua-dua produk terbabit, tiada maklumat pengilang dinyatakan pada label dan bungkusan produk.

“Bagaimanapun, pemantauan berterusan terutama membabitkan penjualan dalam talian akan diteruskan bagi mengesan produk berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, dalam usaha mengekang penjualan produk tidak berdaftar atau dicemar palsu dengan racun dalam talian, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa membuat pemantauan berterusan terhadap penjualan dan pengiklanan produk farmaseutikal yang dijual dalam talian termasuk di platform e-dagang (e-commerce).

Beliau berkata, KKM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pemilik platform e-dagang dalam dan luar negara sentiasa bekerjasama memastikan laman sesawang atau platform disekat daripada menjual produk tidak berdaftar.

“Penjualan produk tidak berdaftar dengan KKM melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Mereka yang bersalah boleh dikenakan denda mengikut Akta Jualan Dadah 1952 iaitu tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi makanan yang ditambah bahan terlarang, penyediaan atau penjualan makanan terbabit adalah salah mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Loading...