Jangan Abai Mesej Program Khas Pengakuan Sukarela

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menasihatkan pembayar cukai tidak mengabaikan surat atau e-mel mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela yang mereka terima.

LHDNM dalam satu kenyataan berkata pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel program itu hendaklah mengambil tindakan segera dengan membuat semakan terhadap rekod percukaian mereka dan mengisytiharkan semua pendapatan serta perbelanjaan yang betul dalam tempoh tawaran program ini iaitu dari 3 November 2018 sehingga 30 Jun 2019.

“Ini bagi melayakkan mereka menikmati pengenaan kadar penalti yang rendah iaitu hanya 10 peratus dan 15 peratus atas amaun cukai yang kena dibayar.

Pengakuan sukarela yang dibuat oleh mereka dalam tempoh program ini juga akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada pihak LHDNM,” kata kenyataan itu.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Program Khas Pengakuan Sukarela sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya mengurangkan ketirisan hasil negara.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut lagi LHDNM kini sedang dalam proses menghantar surat dan e-mel tersebut kepada lebih 8.3 juta pembayar cukai yang berdaftar.

Di antara kriteria pembayar cukai yang akan menerima surat atau e-mel berkenaan ialah pembayar cukai berdaftar tetapi dikesan belum pernah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan pembayar cukai berdaftar tetapi gagal mengemukakan BNCP secara teratur (terdapat BNCP bagi mana-mana tahun taksiran yang gagal dikemukakan).

Selain itu, pembayar cukai berdaftar yang telah mengemukakan BNCP tetapi dikesan mempunyai isu pematuhan cukai seperti keraguan amaun pendapatan (terkurang isytihar pendapatan) atau keraguan amaun perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dituntut (terlebih tuntut).

“Selepas tempoh program ini tamat iaitu mulai 1 Julai 2019 pemeriksaan lanjut boleh diambil oleh LHDNM melalui tindakan audit atau siasatan dan penalti yang tinggi antara 80 peratus hingga 300 peratus akan dikenakan,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, bagi mengelak terjebak dengan sebarang sindiket penipuan yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program ini, pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel makluman program tersebut boleh mendapatkan pengesahan lanjut terlebih dahulu.

Pembayar boleh mengunjungi pejabat LHDNM yang berhampiran; menghubungi Hasil Careline LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau menghantar e-mel pertanyaan kepada: [email protected]BERNAMA

Loading...