Jambatan Ghulam Pertama Asia Tenggara Di Johor

PONTIAN – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah menyediakan beberapa kemudahan baharu seperti jambatan kayu dan pelantar jalan kaki sepanjang satu kilometer di Taman Negara Johor Pulau Kukup di sini.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata usaha berkenaan sebagai langkah memulihara dan memelihara pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni dan kedua terbesar di dunia itu sekali gus meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata projek menaik taraf dan menyediakan kemudahan tambahan itu bermula 2015 dan siap sepenuhnya tahun lepas dengan perbelanjaan sebanyak RM6 juta.

Kemudahan tersebut, katanya, pembinaan jambatan menerusi inovasi kejuruteraan kayu dengan teknik glulam (glued-laminated timber) sepanjang 60 meter menghubungkan pulau itu dengan jeti utama.

Teknoloji glulam dalam pembinaan struktur jambatan itu merupakan pertama seumpama itu di Asia Tenggara, katanya di sini hari ini.

Produk glulam dan teknoloji pembuatannya yang berasal dari Jerman itu telah digunakan secara meluas di negara Eropah, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan Jepun.

Ismail berkata antara kemudahan baharu yang lain di taman berkenaan ialah platform dan pavilion, wakaf duduk serta mercu tanda ‘Pulau Kukup’ bagi mengindahkan kawasan tersebut.

Beliau berkata Pulau Kukup merupakan salah satu daripada tiga tapak ramsar di Johor selain Sungai Pulai dan Tanjung Piai.

Ia mempunyai tarikan antara lain 27 spesies bakau asli yang popular iaitu bakau kurap dan bakau minyak selain tujuh spesies mamalia, enam spesies reptilia, 23 spesies burung dan 111 spesies ikan.

Diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 27 Mac 1997 dan dibuka kepada orang ramai pada Julai 2003, pulau berkenaan mempunyai keluasan 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya.

Taman tersebut dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, Ismail berkata, IRDA, selaku Sekretariat Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri Malaysia-Singapura dalam bidang pelancongan, kini mengadakan promosi program ‘Passport to Nature’ di republik itu.

Beliau berkata program tersebut ​​​​​​​​​​​​​​membabitkan Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Sungei Buloh Wetland Reserve di Singapura bermula 1 Okt sehingga 31 Dis ini. – BERNAMA

Loading...