Jambatan Angkat Kuala Terengganu Dibuka 2 Jun

KUALA TERENGGANU – Orang ramai berpeluang untuk merasai keindahan panorama indah muara Sungai Terengganu menerusi jambatan angkat Kuala Terengganu atau drawbrigde yang akan dibuka untuk sesi ujian selama 13 hari mulai 2 Jun depan.

Setiuasaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya berkata, pembukaan jambatan angkat sepanjang 638 meter itu sehingga 17 Jun depan juga bertujuan untuk melancarkan aliran trafik di bandar raya ini sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Ia akan dibuka untuk sesi ujian bagi kegunaan orang ramai dari 2 Jun hingga 17 Jun depan sebelum akan ditutup semula bagi memperkemaskan lagi operasinya terutama pemasangan papan tanda.

“Kita menjangkakan drawbrigde (jambatan angkat) ini akan beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan Jun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mesyuarat kedua MTN Terengganu tersebut dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof.

A. Rahman berkata, jambatan angkat yang menghubungkan daerah ini dan Kuala Nerus di muara Sungai Terengganu tersebut merupakan mercu tanda baharu Terengganu dan ia telah menarik perhatian bukan masyarakat tempatan malah seluruh negara. – K! ONLINE

Loading...