Jalur Gemilang Berwarna Hitam, Lee Kim Yew Mohon Maaf

SHAH ALAM – Pengerusi Country Height Holding Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew memohon maaf kerana menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam berhubung isu pengenalan tulisan khat.

Dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata, beliau berharap generasi muda tidak mengulangi kesilapan dilakukannya.

“Saya telah membetulkan semula grafik bendera Malaysia kepada keadaan asal dan memastikan ia tidak akan ditukar lagi. Berdasarkan pengalaman ini, saya ingin menasihatkan kepada generasi akan datang supaya jangan sama sekali menukar warna, grafik atau fizikal bendera.

“Terima kasih semua untuk masuk ke Facebook saya dan membaca artikel saya dengan minda terbuka. Saya menghormati pandangan anda dan saya akan terus mencari diri dan menilai diri saya,” tulis beliau.

Katanya, beliau berasa sedih dengan kontroversi yang berlaku.

“Warna putih melambangkan kesucian dan bersih mengingatkan kita untuk hidup bersih jauh daripada korupsi dan hidup dengan penuh bermoral.

“Ini adalah perasaan saya tentang bagaimana negara kita patut dicintai tetapi saya membuat kesilapan dengan meminta pereka grafik menyatakan perasaan saya dengan mengubah warna bendera,” katanya.

Menurutnya lagi, bendera kebangsaan Malaysia mempunyai makna yang mendalam dengan bintang dan bulan mewakili agama Islam, warna kuning melambangkan raja, warna biru mewakili keamanan, perpaduan dan keharmonian; warna merah pula mewakili keberanian dan warna putih pula mewakili kesucian dan bersih.

Semalam, ahli perniagaan yang terlibat dengan perniagaan industri pembinaan itu dikecam netizen kerana menukar warna putih pada Jalur Gemilang kepada warna hitam di laman Facebooknya.

Perbuatan tersebut kononnya mahu menyindir Kementerian Pendidikan yang mungkin akan menukarkan warna bendera itu sama seperti menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam. – Sinar Harian

Loading...