Ugutan, Serangan Peribadi Punca Jalil Letak Jawatan CEO PNB

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Abdul Jalil Abdul Rasheed mendedahkan beliau meletak jawatan dari GLC itu kerana menerima ugutan dan serangan peribadi sejak minggu lepas.

Pendedahan dibuat beliau melalui akaun Twitter peribadinya sebentar tadi.

Menurut Abdul Jalil, beliau menerima panggilan telefon menggunakan bahasa kesat dari nombor persendirian (private) dan akaun sosial peribadinya di LinkedIn turut digodam.

“Pembantu saya menyedarkan saya mengenai ini (perubatan godam) dan saya kemudiannya mendapati beberapa butiran mengenai diri saya diubah.

“Perubahan butiran yang dilakukan menepati khabar angin mengenai saya yang muncul sejak hujung minggu lalu.

“Gambar yang tersebar dalam talian juga diubah,” katanya.

Siang tadi, Bernama melaporkan, Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah menerima peletakan jawatan Abdul Jalil berkuat kuasa hari ini.

PNB dalam satu kenyataan berkata, lembaga pengarah dan pasukan kepimpinan menyampaikan penghargaan mereka kepada Abdul Jalil atas kepimpinan dan sumbangan beliau semasa berkhidmat dengan PNB.

Abdul Jalil berkata, tahap gangguan yang dilaluinya menyebabkan beliau mula bimbang akan keselamatan ahli keluarganya.

Jelas Abdul Jalil, beliau sekeluarga sebenarnya melakukan pengorbanan kewangan yang besar apabila memilih untuk kembali dari Singapura untuk berkhidmat di Malaysia.

Namun katanya, serangan dan gangguan yang diterimanya agak keterlaluan dan tidak mengambil kira langsung nilai pengorbanan yang beliau dan keluarganya lakukan.

“Saya tidak pernah tertarik dengan kelebihan (perks) yang pejabat saya tawarkan. Saya sentiasa berpandukan niat baik untuk berbuat baik.

“Serangan peribadi ini tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Abdul Jalil bagaimanapun beranggapan pengalamannya selama lebih 8 bulan di PNB sebagai sesuatu yang indah dan berharga dan berharap GLC itu akan terus maju ke hadapan. – Mynewshub.TV