Jalan Kaki Lebih 11,250km Untuk Kutip Sampah

LANCASHIRE – Seorang lelaki bersama anjing peliharaannya berjalan kaki lebih 11,250 kilometer (km) untuk mengutip sampah sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung-pengunjung di sepanjang pesisir pantai Britain sejak tiga tahun lalu.

Wayne Dixon, 47, bersama Koda, anjing baka jenis Northern Inuit menjalankan usaha membersihkan dan menjaga alam sekitar pada setiap hari dengan mengisi berpuluh-puluh beg dengan sampah yang dikutip di kawasan pesisir pantai.

Ekspedisi mereka bermula di perkampungan Knot End di sini ke Kinlochleven, barat Scotland pada tahun 2016 sebelum berehat seketika pada November disebabkan cuaca buruk.

Pada awal tahun 2017, Dixon dan Koda meneruskan perjalanan ke bandar Formby, Merseyside dan berjalan di sekitar Wales, Devon dan Cornwall hingga tiba di pantai Kadal pada bulan Disember tahun sama.

“Lebih 40 juta orang berkunjung ke pantai di Britain setiap tahun dan jika semua orang mengutip sekurang-kurangnya satu cebisan beg plastik atau sampah, kira-kira 40 juta sampah sarap dapat dibersihkan dari kawasan pantai,” katanya. – Agensi

Loading...