Jalan Kaki Ke Parlimen Bantah Kena Bayar PTPTN

PROTES… Berang ditipu kerajaan Pakatan Harapan (PH) konon mahu hapus hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sekumpulan siswa berarak ke Parlimen.

Mereka yang terdiri daripada seramai 20 pelajar dari pelbagai universiti tempatan itu hanya berjalan kaki sejauh sembilan kilometer dari Universiti Malaya bagi bantah penetapan jadual pembayaran balik hutang agensi tersebut.

Ia ditegaskan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika bentang Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat pada 2 November lalu sekali gus membuktikan pentadbiran PH berjaya menipu peminjam PTPTN yang sokong mereka.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Faizuddin Mohd. Zai berkata, mereka kecewa apabila disekat masuk bangunan Parlimen bagi serah memorandum kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

“Kami ingin memberitahu Maszlee bahawa beliau seorang yang jelas hipokrit. Beliau melontarkan suara demokrasi tetapi membiarkan kami pula terpaksa berjalan kaki sejauh sembilan kilometer dan tunggu di tepi jalan.

“Seolah-olah kami tidak ada apa-apa. Ya, memang kami tiada apa-apa, bukan seperti syarikat besar yang boleh melobi kerajaan Pakatan Harapan (PH),” kata Muhammad Faizudddin di hadapan bangunan Parlimen semalam.

Guan Eng dalam Belanjawan 2019 berkata, pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan me­lebihi RM1,000 sebulan.

Dalam masa sama, Muhammad Faizuddin turut menjelaskan siswazah yang berpendapatan serendah RM1,000 sebulan juga perlu menanggung pelbagai hutang lain sebanyak RM400 untuk meneruskan kehidupan sendiri.

Bahkan ujar beliau, pengiraan terperinci segala komitmen ansuran bulanan itu telah dilampir dalam memorandum yang ingin diserahkan kepada Maszlee tetapi cuma diterima oleh pegawai khas Maszlee, Abdul Hannaan Khairy.

“Apabila menteri sekadar hantar wakil untuk mengambil memorandum kami ini, ia sebenarnya ibarat beliau sengaja membakulsampahkan suara mahasiswa,” kata Muhammad Faizuddin dalam nada kesal. – Agensi/Mynewshub.TV