Jalan Di Gombak Ditutup Rabu Hingga Awal Pagi 29 Januari

KUALA LUMPUR – Beberapa jalan di daerah Gombak akan ditutup, sempena perarakan sambutan Thaipusam mulai hari ini sehingga awal pagi 29 Januari.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, penutupan jalan ini susulan kebenaran  pergerakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membawa Arca Dewa Murugan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S Lee ke Kuil Seri Subramaniam, Batu Caves esok.

“Laluan terbabit adalah susur ke Kuil Batu Caves dari arah Bulatan Batu Caves, susur MRR2 ke Jalan Perusahaan Batu Caves, simpang Jalan Perusahaan ke Bulatan Batu Caves, jalan ke tempat mandian utama, Sungai Batu Caves,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya jalan akan dibuka semula pada 29 Januari jam 6 pagi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak perlu hadir, kerana upacara sembahyang di kuil sempena Thaipusam kali ini tidak dibenarkan, dan semua pihak juga hendaklah mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa. 

Katanya polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP PKP (Thaipusam) yang telah ditetapkan MKN. – BERNAMA