Jadual Padat Menanti PM Di Amerika Syarikat

WASHINGTON DC – Selain bertemu Presiden Donald Trump dalam lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) kali ini, Datuk Seri Najib Razak mempunyai jadual padat termasuk menemui pemimpin korporat, pemikir dan ahli akademik.

Beliau yang diiringi beberapa anggota Kabinet dan delegasi lain dijadual tiba pagi Isnin waktu tempatan (malam waktu Malaysia).

Malamnya, Perdana Menteri dan Datin Sri Rosmah Mansor akan mengadakan pertemuan dengan pelajar dan rakyat Malaysia dalam majlis makan malam di Kedutaan Besar Malaysia.

Najib akan menyampaikan amanat, terutama untuk memaklumkan situasi terkini serta mesej sempena Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia pada bulan ini.

Keesokannya, selepas acara kemuncak bertemu Trump di Rumah Putih, beliau dijadual pula berucap dalam majlis makan malam anjuran bersama Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) dan Dewan Perniagaan AS di Hotel St. Regis.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengadakan dialog dengan tokoh berkenaan dan pegawai USABC serta Dewan Perdagangan AS.

Satu perjanjian persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani di antara Malaysia Airlines Berhad dan Boeing Aircraft Corporation pada hari sama, bukti pengukuhan hubungan ekonomi Malaysia-AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada hari ketiga, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), sebagai sebahagian daripada dialog Forum Banyan Tree Leadership.

Acara ini dianjurkan bersama oleh CSIS dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dengan topik perbincangan tertumpu kepada hubungan dan kerjasama dua hala serta isu keselamatan serantau.

Selain Perdana Menteri, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Mustapa turut mengambil bahagian dalam forum itu dan bertukar-tukar fikiran dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemikir, ahli akademik dan pegawai kanan kerajaan AS.

Selepas itu, Najib akan bermesyuarat dengan pengerusi dan ahli Jawatankuasa Senat Mengenai Hubungan Luar di Bangunan Capitol.

Mesyuarat ini penting memandangkan jawatankuasa berusia lebih 200 tahun ini memainkan peranan penting dalam membentuk dan mempengaruhi dasar luar AS.

Mereka dijangka membincangkan isu dasar luar, serantau dan global yang berkepentingan bersama.

Sementara itu, Rosmah pula dijadual melawat Feynman School di Rockville, Maryland, sekolah ditubuhkan pada 2010 khusus untuk pelajar berbakat dari umur tiga hingga 14 tahun.

Lawatan bertujuan berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dari segi membina kurikulum khas untuk kanak-kanak berbakat serta menghasilkan persekitaran yang dapat membina bakat berdasarkan tahap masing-masing.

Beliau akan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Konsultan Kanan Program PERMATA, Prof Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Puan Sri Siti Nooriah Anna Razak, isteri Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Rosmah juga akan bertemu pelajar program PERMATA yang sedang belajar di universiti di AS, termasuk di Pennsylvania, Michigan, Illinois, New Jersey, Indiana, Iowa dan Massachusetts.

Beliau turut dijadual melawat Pusat Kebangsaan Untuk Kanak-kanak Hilang dan Dieksploitasi di Alexandria, Virginia. – BH ONLINE

Loading...