Jadual Padat, Hael Terpaksa Tolak Permintaan

DEK kerana fenomena lagu Jampi dan lagu dendangan Nabila Razali berjudul Pematah Hati, lagu gubahan Hael Husaini laris bak pisang goreng panas.

Menurut Hael yang masih segar dengan kejayaan di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) tempoh hari, dia terpaksa menolak permintaan beberapa artis yang mahu menyanyikan lagu ciptaannya.

Hael juga mengakui bahawa sejak memenangi trofi AJL itu, semakin ramai yang datang kepadanya meminta lagu, namun tidak semua permintaan dapat dipenuhinya oleh kerana jadual kerjanya yang terlalu padat.

Jelas Hael, dia tidak sesekali memilih artis untuk memberikan lagunya, namun dia memerlukan sedikit masa untuk memastikan lagu ciptaaannya itu mengikut karakter penyanyi berkenaan.

“Secara jujurnya memang ada permintaan buat lagu saya terpaksa tolak kerana tidak mahu tergesa-gesa dan gelojoh untuk menghasilkan sesuatu karya.

“Jadi jika ada yang mahu dalam tempoh masa cepat saya terpaksa tolak. Seperti lagu Ayda Jebat dan Stacy yang bakal dilancarkan tidak lama lagi itu pun dibuat dari tahun lepas,” katanya memetik portal mStar Online.

Menurut Hael, dia berbuat demikian bukan kerana mahu demand atau hendak mengenakan bayaran tinggi, tetapi bagi mengelakkan mereka ternanti-nanti.

Oleh itu, Hael akan menolak permintaan pihak yang mahu sesuatu lagu itu disiapkan secepat mungkin kerana tidak mahu hasil lagu yang dikeluarkan kelak tidak seperti yang diharapkan.

Kata Hael, setiap lagu yang diciptanya mengikut suara dan karakter nyanyian penyanyi itu sendiri, dan tidak menyimpan lagu terbaik khas untuk dirinya atau pun mana-mana penyanyi istimewa.

“Saya tidak simpan lagu yang baik untuk diri sendiri, semua yang saya buat mengikut suara artis itu sendiri. Lagu Dia sesuai dengan vokal Dayang Nurfaizah, Nisan Cinta untuk Siti Nordiana dan Jaclyn Victor, manakala Pematah Hati memang khas untuk Nabila Razali.

“Tak mungkin saya nyanyi lagu ‘Cumi-Cumi’ sebab tidak sesuai pula,” jelasnya.

Mengulas mengenai perkembangan terkininya, Hael berkata dia kini sedang menyiapkan lagu istimewa untuk nyanyian penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya sudah lama simpan hasrat untuk buat lagu untuk beliau dan baru sekarang ada rezeki itu. Tapi masih lagi dalam proses dan ambil masa sedikit.

“Namun, saya tidak berkecil hati andai lagu yang saya buat itu tidak menepati citarasa beliau dan ditolak kerana ia adalah lumrah bagi semua komposer,” ujarnya.

Hael ditemui pada Malam Penghargaan Jampi bersempena dengan kemenangannya pada malam AJL32 di Ruang, Shah Alam, Selangor, Jumaat lalu.

Lagu ciptaannya bersama Ezra Kong itu berjaya muncul juara pada malam pertandingan tersebut yang berlangsung pada 11 Februari lalu.

Majlis penghargaan tersebut dihadiri lebih 100 orang tetamu yang terdiri daripada pihak media, rakan artis dan peminat Hael yang dikenali sebagai Haelers.

Antara rakan artis yang turut hadir adalah Nabila Razali, Ara Johari, Wany Hasrita, Amylea Azizan dan juga Ismail Izzani. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...