Jadikan Merokok Sebagai Kesalahan Syariah

DALAM usaha kerajaan membasmi ketagihan merokok, langkah lebih drastik perlu dipertimbangkan dengan menjadikan merokok itu sebagai salah satu kesalahan syariah bagi umat Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-37 pada 1995 telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju memutuskan bahawa “merokok haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.

Pengharaman rokok terbabit dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan perokok itu sendiri, mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling serta alam sekitar dan perbuatan tersebut menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta membawa kerugian.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran dilaksanakan pihak jabatan agama mengenai perkara ini, namun ia dilihat masih tidak efektif untuk mengekang masalah ketagihan merokok.

Lebih membimbangkan, masalah merokok ini telah mula menular dalam kalangan generasi muda yang masih bersekolah.

Oleh itu, fatwa pengharaman terbabit perlu dijana sebagai satu peruntukan undang-undang yang lebih jelas untuk menjadikan merokok sebagai salah satu jenayah syariah.

Ini memberi satu peringatan kepada umat Islam mengenai bahaya dan kesalahan untuk merokok. Sekarang belum ada seksyen khusus mengenai kesalahan merokok di bawah Akta Jenayah Syariah negeri-negeri.

Yang ada pun cuma Seksyen 15 yang memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang ‘tidak menghormati bulan Ramadan’.

Oleh kerana perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, maka terpulanglah kepada setiap kerajaan negeri untuk mempertimbang cadangan terbabit.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan USIM – UTUSAN ONLINE

Loading...