Jackie Chan Tawar RM587,709 Cari Antidot Coronavirus

KUALA LUMPUR – Bintang filem seni mempertahankan diri, Jackie Chan menawarkan sejuta renminbi (RM587,709) kepada individu yang dapat menghasilkan antidot bagi coronavirus (2019-nCoV).

Jackie, 65, yang cukup dikenali dengan skil pertarungan hebat dalam filem kungfu, dilaporkan membuat tawaran itu melalui aplikasi Weibo yang digunakan secara meluas di China.

“Sains dan teknologi adalah kunci utama dalam mengawal wabak ini. Saya percaya ramai orang bersetuju dengan saya.

“Saya berjanji akan mengucapkan terima kasih kepada individu dan mana-mana organisasi yang berjaya menghasilkan antidot bagi coronavirus melalui sumbangan sejuta renminbi,” katanya dipetik agensi.

Namun, Jackie tidak mahu orang ramai salah faham dengan tawaran yang dibuat.

“Ini bukan soal ganjaran wang. Apa yang saya tak mahu adalah melihat jalan dan tempat awam ditinggalkan kosong serta rakyat berjuang melawan virus bahaya ini,” katanya.

Kemurahan hati Jackie menyumbang sejumlah wang yang banyak dalam pencarian antidot bagi coronavirus rata-rata dipuji netizen. Malah, ada yang menyarankan Jackie menaikkan kadar ganjaran berkenaan. – Agensi