Jabatan Penjara Nafi Samirah Ditahan Di Bilik Gelap

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia menafikan Samirah Muzaffar, iaitu balu ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan ditahan dalam bilik asingan gelap seperti didakwa peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

Pengarah dasar kepenjaraan jabatan itu Nordin Muhamad berkata, Samirah tidak ditahan di bilik gelap sebaliknya ditempatkan berseorangan di bilik asingan bersebelahan bilik pegawai bertugas Penjara Wanita Kajang.

“(Penempatan Samirah dibuat) berasaskan kategori seseorang banduan serta keperluan kawalan selaras dengan kuasa pengkategorian banduan di bawah Peraturan Penjara 2000.

“Hasil semakan serta pemeriksaan oleh ibu pejabat penjara juga mendapati tiada kerosakan pada lampu yang terdapat di bilik penama (Samirah) ditempatkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau juga berkata, penjara di Malaysia tidak mempunyai bilik gelap sebaliknya semua bilik atau sel mempunyai tingkap berpalang besi bagi membolehkan cahaya dan udara masuk ke dalam bilik.

“Bilik dan sel berkenaan adalah sesuai dari segi saiz lantai, pengudaraan dan pencahayaan serta kemudahan yang disediakan.

“Ini termasuklah pemeriksaan dan pengesahan ia sesuai digunakan oleh pegawai perubatan sebelum bilik atau sel berkenaan di sesebuah penjara boleh digunakan untuk penempatan banduan,” katanya.

Nordin berkata, Samirah juga tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk mendapatkan buku nota dan alat tulis.

“Penama (Samirah) sebagai tahanan reman yang baru turut mengakui keliru berhubung tatacara penggunaan peralatan untuk menulis dan penjelasan telah diberikan kepada beliau.

“Penama (Samirah) seterusnya diberikan peralatan untuk menulis dengan seliaan oleh pegawai penjara,” katanya.

Nordin berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat segala keperluan banduan dan pada masa yang sama menggalakkan banduan mematuhi peraturan dan undang-undang.

Sebelum ini, Muhammad Shafee mengemukakan aduan bahawa anak guamnya diletakkan di dalam sebuah bilik berasingan yang gelap di Penjara Kajang, serta tidak diberikan pensil dan buku nota untuk membuat sebarang catatan berkenaan kes itu.

Selasa lepas, Samirah, 44, serta 2 remaja lelaki berusia 17 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Nazrin pada Jun tahun lepas.

Loading...