Jabatan Penjara Nafi Azilah Dibawa Keluar Temui VVIP

SHAH ALAM – Jabatan Penjara menafikan dakwaan bahawa bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri telah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk menemui orang kenamaan (VVIP) yang tidak dikenali.

Jabatan Penjara dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga mengesahkan Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun 2019.

Menurutnya, berdasarkan rekod, banduan tersebut tidak pernah dibawa keluar dari penjara berkenaan sejak 15 April 2015 untuk sebarang urusan.

“Kali terakhir dia dibawa keluar adalah pada 15 April 2015 itu iaitu bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

“Pengiringan bagi menghadiri perbicaraan tersebut dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan daripada Mahkamah Sepang seperti mana di bawah Seksyen 30 Akta Penjara iaitu mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat telah dinyatakan,” kata kenyataan.

Jabatan Penjara berkata, malah rekod lawatan dan perjumpaan menunjukkan banduan berkenaan telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali melibatkan peguamnya di Penjara Kajang sejak setahun lalu.

“Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir.

“Oleh itu sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan Azilah Hadri telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui WIP adalah tidak benar sama sekali,” kata kenyataan itu.

Semalam, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu seorang VVIP, Februari lalu.

Kelmarin Azilah menerusi akuan bersumpah (SD) mendakwa Najib ketika itu Timbalan Perdana Menteri membuat arahan secara terus untuk membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Azilah ketika ini menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya mengubah kenyataan dengan mendakwa dia menerima arahan berkenaan secara terus daripada Najib. – Sinar Harian

Loading...