Jabatan Peguam Negara Batal Pertuduhan Siti Kasim

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pertuduhan terhadap seorang peguam, Siti Kasim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355), September, dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komsioner Fadzil Ahmat dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas siasatan berhubung Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim sebelum ini telah dipanggil semula oleh Jabatan Peguam Negara pada 10 Februari lalu.

“Setelah meneliti semula segala fakta dan keterangan, pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang dikeluarkan pada 18 April tahun lalu adalah dibatalkan,” katanya.

Pada insiden 5 September 2016, Siti Kasim didakwa menunjukkan isyarat jari tengah kepada seorang penonton ketika forum tentang RUU 355 di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Ia didakwa berlaku selepas beliau yang hadir semasa forum itu mengkritik RUU tersebut sehingga mengundang sindiran daripada para penonton yang hadir.

Fadzil sebelum ini dipetik dari sebuah portal memaklumkan bahawa polis telah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Siti Kasim sejak April tahun lalu.

Namun, beliau menjelaskan polis bagaimanapun menangguhkan perkara itu kerana sibuk dengan persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 selain menerima kes melibatkan Siti Kasim berhubung insiden serbuan di Kajang kerana didakwa menculik anak guamnya dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas. – K! ONLINE

Loading...