Jabatan Imigresen Sedia Tambah Kaunter Atasi Kesesakan Di Sempadan

RANTAU PANJANG – Jabatan Imigresen bersedia untuk menambah lebih banyak kaunter pengesahan dan menggunakan teknologi terkini untuk mengatasi masalah kesesakan…

RANTAU PANJANG – Jabatan Imigresen bersedia untuk menambah lebih banyak kaunter pengesahan dan menggunakan teknologi terkini untuk mengatasi masalah kesesakan di semua pintu masuk sempadan negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata bagaimanapun ia perlu diperbincangkan di peringkat pusat kerana membabitkan pelbagai perkara termasuk kos.

“Kita memahami masalah ini dan sentiasa berusaha untuk menambah baik keadaan itu dan mencadangkan beberapa perkara kerana kita merasai denyut nadi rakyat setiap kali berlaku kesesakan.

“Bagaimanapun kita akan bincang dengan lebih lanjut terutama dengan Kementerian Dalam Negeri bagaimana ia dapat direalisasikan,” katanya ketika mengadakan lawatan dan mendengar taklimat operasi jabatan itu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan dan taklimat itu beberapa pegawai imigresen, kastam dan polis dari Thailand yang bertugas di sempadan di sini.

Mustafar berkata keberkesanan penggunaan Sistem M-Bike yang menggunakan peranti pengesanan gelombang radio (RFID) yang dilekatkan pada pasport pengguna di Tambak Johor juga dilihat mampu mengatasi masalah berkenaan.

“Ini yang akan kita gunakan pada laluan pengguna motosikal dan insya-Allah ia mampu mengatasi masalah ini nanti,” katanya.

Mengenai kes pemerdagangan dan penyeludupan manusia di negeri ini, Mustafar berkata pihaknya pada tahun ini telah merekodkan sebanyak 138 kes tangkapan migran terutamanya dari Myanmar.

Katanya daripada jumlah itu sebahagian kes telah diselesaikan di peringkat mahkamah dan beberapa kes masih dalam siasatan.

“Kita sentiasa memastikan langkah-langkah penguatkuasaan ini diperketat dan setiap kes akan mengambil masa yang cepat untuk diselesaikan.

Sementara itu, jabatan tersebut akan menukar pasport yang rosak atau hilang akibat banjir secara percuma kepada mereka yang terjejas banjir.

“Bagaimanapun ia perlu melalui beberapa prosedur kerana kes yang tertentu sahaja akan mendapat pertukaran secara percuma itu,” katanya. – BERNAMA

Loading...