Jaafar: Pengalaman Menanti Musuh 45 Hari Dalam Lubang

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

SETIAP anggota tentera yang pernah terlbat dalam operasi memburu pengganas komunis pasti mempunyai kenangan tertentu yang mungkin sukar untuk disisihkan dari ingatan.

Begitu juga dengan Mejar Jaafar Ahmad, 44 yang kini merupakan Pegawai Staf 2 Latihan, Markas 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) yang pernah menempuh berbagai-bagai peristiwa sepanjang menjadi pegawai komando.

Beliau yang pernah terlibat dalam beberapa operasi sejak menyertai Rejimen Gerak Khas (RGK) pada tahun 1982, tidak menafikan pengalaman yang dikutip itu begitu bermakna kepadanya.

Tambahan pula, ia turut mematangkan beliau dalam melaksanakan segala tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Satu daripada peristiwa yang sering teringat olehnya ialah ketika menyertai Operasi Idaman Khas di Miri, Sarawak selepas dua tahun menamatkan Kursus Asas Komando.

Waktu itu, Jaafar yang masih berpangkat Leftenan Muda bersama sembilan anggotanya telah diarah membuat serang hendap ke atas gerombolan pengganas Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Long Lama.

“Bagi saya itulah operasi yang paling mencabar dan sukar. Malah ia benar-benar menguji kesabaran kami,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kem Sungai Udang.

Menurut beliau, untuk operasi tersebut sahaja, mereka terpaksa menaiki bot awam selama lapan jam dari Miri menuju ke tempat operasi yang terletak tidak jauh dari perkampungan pribumi Kayan.

Untuk memelihara kerahsiaan operasi, mereka telah memakai pakaian awam serta menyimpan segala kelengkapan lain termasuk senjata di dalam bungkusan.

Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, Jaafar telah menyimpan dua butir bom tangan dan sepucuk pistol dalam pakaiannya, bimbang jika mereka diserang hendap oleh musuh dalam perjalanan.

Apabila tiba tidak jauh dari perkampungan itu, mereka turun dari bot yang dipandu oleh seorang anggota polis Cawangan Khas dan terpaksa melalui kawasan paya agar ketibaan mereka di situ tidak diketahui oleh penduduk kampung.

“Masa itu seksanya Tuhan sahaja yang tahu kerana kami terpaksa meredah paya yang dalamnya paras dada kami sejauh tiga kilometer.

“Selepas bersusah payah meranduk paya selama beberapa jam barulah kami tiba di lokasi serang hendap yang telah ditetapkan,” terang beliau.

Selepas menukar pakaian dan mengeluarkan senjata, Jaafar terus mengatur anggotanya. Dua orang ditugaskan untuk menyediakan makanan iaitu kira-kira 500 meter dari kawasan serang hendap manakala yang lain menggali lubang sebagai tempat persembunyian mereka sementara menantikan musuh muncul.

Bersembunyi

Tatkala malam menjelma, beberapa orang dari mereka bersembunyi di dalam lubang berhampiran kawasan membunuh yang ditetapkan manakala yang lain ditugaskan sebagai pengawal belakang dan berehat di kawasan memasak.

Tetapi entah kenapa, dari malam hingga ke pagi tiada seorang manusia yang disyaki sebagai musuh muncul sedangkan maklumat yang diterima mengatakan musuh memang bergiat aktif di kawasan itu.

Walaupun begitu, mereka tidak hampa. Sebaliknya, operasi serang hendap itu diteruskan lagi pada keesokan harinya.

“Tetap tiada juga musuh yang muncul. Yang ada hanyalah beberapa orang penduduk kampung yang lalu-lalang,” katanya.

Disebabkan patuh dengan arahan agar tidak pulang selagi misi belum sempurna, maka mereka terpaksa menunggu di situ selama beberapa hari lagi.

“Akhirnya, tanpa diduga misi itu telah berlarutan selama 45 hari dan kerana itu jugalah kami terpaksa bersembunyi dalam lubang menantikan kemunculan musuh,” katanya.

Jaafar berkata, agak sukar baginya untuk menggambarkan perasaan mereka ketika menunggu tanpa boleh banyak bergerak dalam lubang kecil yang digali.

“Dari lubang itu, kami hanya boleh melihat sesiapa yang lalu-lalang di depan kami di samping menghulurkan muncung senjata.

“Rasa lenguh, panas, rimas, semuanya ada. Tetapi kerana tugas, kami tidak anggapnya sebagai satu masalah besar,” katanya yang tetap mahu merahsiakan hasil yang diperolehi daripada operasi khas itu.

Selain Operasi Idaman Khas, anak jati Batu Pahat ini juga pernah terlibat dalam Operasi Asli di Cameron Highland di sekitar tahun 1983 hingga 1985 dan operasi di Terumbu Layang-layang.

Menceritakan pengalamannya sewaktu bertugas di Terumbu Layang Layang pula, Jaafar memberitahu beliau bersama sembilan anggotanya pernah hanyut di laut selepas tercampak dari bot yang dinaiki akibat dipukul ombak besar.

Kejadian itu berlaku pada bulan November 1984 ketika musim tengkujuh.

“Masa itu kami naiki bot kecil milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mendarat di terumbu tersebut.

“Entah macam mana, tiba-tiba ombak besar memukul bot kami sehingga menyebabkan bot melanggar batu karang.

“Nasib baik ada bot lain yang berada tidak berapa jauh dari situ datang untuk menyelamatkan kami.

“Kalau tidak, tentu kami menjadi mangsa ganas ombak,” katanya.

Di samping pengalaman tersebut, Jaafar yang pernah menjadi Pegawai Pengiring kepada Sultan Johor selama tujuh bulan pada tahun 1995, turut terlibat secara langsung dalam operasi menahan anggota Kumpulan Al-Maunah di Bukit Jenalek, Sauk, Perak yang terlibat dalam rompakan senjata api di Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Gerik, Perak.

“Tentang peranan saya di situ, biarlah ia menjadi rahsia saya dan pasukan,” katanya.

Mengenai tanggungjawab sekarang, Jaafar memberitahu, beliau menyandang jawatan tersebut sejak 1 Mei 2001.

Antara tanggungjawabnya kini ialah menyelaraskan latihan pasukan-pasukan di bawah naungan Markas 21 GGK agar menepati segala arahan yang dikeluarkan Markas Tentera Darat dan Markas 21 GGK.

Dari lubang itu, kami hanya boleh melihat sesiapa yang lalu-lalang di depan kami di samping menghulurkan muncung senjata. Rasa lenguh, panas, rimas, semuanya ada. Tetapi kerana tugas, kami tidak anggapnya sebagai satu masalah besar.

Selain itu, beliau turut terlibat dalam mengendalikan orientasi untuk rekrut yang melaporkan diri untuk menyertai kursus asas komando.

Di sebalik tanggungjawabnya itu, Jaafar dikenali oleh rakan-rakan sepasukan sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang penerjunan tempur dan operasi perairan.

Malah bapa kepada dua orang cahaya mata ini telah melakukan lebih 600 penerjunan sejak bergelar komando.

Beliau juga pernah mengikuti latihan perairan dan mendaki tebing selama sebulan di Australia selain mengikuti latihan bersama komando Indonesia dan pasukan khas Amerika Syarikat ketika menyertai lawatan sambil belajar di Batu Djajar, Bandung pada tahun 1995. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.