Izreen Terharu Suami Buat Kejutan Beri Sejambak Bunga

PELAKON Izreen Azminda mengakui begitu terkejut apabila menerima sejambak bunga ros pemberian suami tercinta iaitu Muhammad Radzi Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ude.

Perkhabaran gembira tersebut dikongsi oleh aktres berusia 33 tahun itu sendiri menerusi sebuah entri dalam laman Instagram miliknya pada petang Selasa.

Izreen menerusi entri berkenaan meluahkan rasa terharu dan juga berterima kasih di atas pemberian tersebut.

Malah, dia sendiri tidak pernah menyangka suaminya seorang yang romantik selain pada masa sama mengakui dirinya sudah lama tidak menerima kejutan sebegitu.

“Allahuakbar, ingatkan ada penyangak depan rumah tekan loceng banyak kali. Tetapi kalau nak merompak takkan tekan loceng pula kan.

“Buka pintu terus nampak bunga. Tidak sangka pula orang itu (suami) seromantis ini. Berkurun saya tak pernah merasa dapat bunga. Selalu tengok dalam televisyen saja.

“Kalau berlakon pun babak hero bagi bunga boleh kira dengan jari. Tidak menjangka hari ini betul pula (dapat bunga). Apapun terima kasih suami, saya sayang awak juga. Terharu pula,” ujar Izreen.

Perkongsian Izreen itu dilihat mendapat perhatian dalam kalangan netizen dan menerima lebih 4,000 tanda suka.

Bagaimanapun, hasil tinjauan kami menerusi entri tersebut mendapati Izreen masih lagi menutup ruangan komen di laman tersebut. – MYNEWSHUB.CC/AM