Itu Video Lama, Shafie Jawab Kritik Bersatu Seperti UMNO

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menolak video yang menunjukkan beliau menyamakan Bersatu dengan UMNO, mengatakan klip itu yang tersebar di media sosial itu adalah video lama.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis hari ini, Shafie, yang juga presiden Warisan, berkata ucapannya dalam video itu dibuat ketika Bersatu melebarkan sayapnya ke Sabah.

“Sebelum ini, kami memahami Bersatu tidak akan masuk ke Sabah.

“Kami tahu terdapat ahli dalam parti kami yang ragu-ragu dan bimbang, serta mereka yang ingin keluar parti kerana mereka tidak mempunyai jawatan.

“Tetapi itu cerita lama. Hari ini kita bersama, jadi kita akan bekerjasama dengan Bersatu di negeri ini,” katanya.

Dalam perjanjian dengan Warisan sebelum pilihan raya umum tahun lalu, Bersatu berjanji ia tidak akan memasuki Sabah.

Bagaimanapun, parti yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad itu melancarkan partinya di negeri itu pada April.

Menerusi klip 2 minit itu menunjukkan seorang lelaki menyerupai Shafie berbual dengan beberapa wanita yang dipercayai cuba mendapatkan pandangannya untuk menyertai Bersatu.

“Ini Bersatu (seperti) UMNO…Jadi, kenapa kamu ikut Bersatu?” soalnya.

Beliau juga berkata menyertai Bersatu bermakna mereka menyokong Ketua Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor, bekas ketua UMNO Sabah yang mengetuai puluhan ahli UMNO Sabah menyertai Bersatu awal tahun ini. – FMT