Isu Zakir Naik: Jangan Sampai Langgar ‘Lampu Merah’

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kepada orang Islam supaya berhenti membuat kenyataan sekiranya tidak memilki kepakaran dalam sesuatu bidang.

Peringatan tersebut jelas menjurus kepada sesetengah pihak yang cuba menimbulkan persepsi buruk terhadap Pendakwah Antarabangsa terkenal, Dr. Zakir Naik.

Menurut Abdul Hadi, sebagai seorang Islam, sepatutnya memberi perlindungan kepada saudara seagama dan mempertahankannya daripada difitnah.

“Beliau adalah seorang pengkaji perbandingan agama dan berhujah dengan ilmu perbandingan dengan hafazan kitab-kitab suci pelbagai agama dengan bahasa asalnya.

“Janganlah pula orang Islam yang tidak mendalami agamanya sendiri, bercakap laksana botol yang sedikit air di dalamnya, maka kuat bunyi yang berdengung sahaja, kalau isinya banyak maka dengungannya tidaklah bising,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook milik beliau hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ramai pihak termasuk pemimpin parti politik kerajaan menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghantar Zakir Naik pulang ke negara asalnya.

Isu tersebut menjadi lebih hangat apabila terdapat pemimpin yang beragama Islam apabila menuduh pendakwah itu memperlekehkan rakyat Malaysia.

Abdul Hadi bagaimanapun menyokong keputusan Dr. Mahathir yang membuat keputusan supaya Zakir Naik tidak dihantar pulang kerana bimbang pendakwah itu akan dibunuh.

“Percayalah bahawa ini bukan keputusan peribadi seorang Perdana Menteri, kerana lebih sejuta ahli PAS tidak mengizinkan Zakir Naik dibiarkan sahaja dan percayalah bahawa bersama kami juga umat Islam daripada pelbagai parti dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

“Saya tegaskan bahawa isu Zakir Naik jangan sampai melanggar lampu isyarat berwarna merah. Hanya orang Islam yang munafik sahaja atau imannya berpenyakit atau hilangnya kemanisan iman di dalam diri, sehingga menjadi laksana orang yang tidak kenal lampu isyarat merah dan hijau,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...