Isu UPSR: KPM Perlu Dapatkan Pandangan Semua Pihak

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan sebelum memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail berkata, kajian menyeluruh perlu dijalankan berikutan UPSR adalah kayu pengukur kepada tahap pencapaian sekolah rendah.

“Saya menyokong cadangan untuk mansuhkan UPSR namun harus diingatkan yang kajian menyeluruh perlu dijalankan untuk memastikan peperiksaan atau penilaian yang akan menggantikan ia nanti setanding atau lebih baik daripada peperiksaan awam itu bagi menilai pencapaian pelajar di peringkat sekolah.

“Peperiksaan yang dijalankan di sekolah perlu dipantau agar selaras dengan standard peperiksaan awam sedia ada.

“Soalan berbentuk objektif perlu dikurangkan kerana tidak dapat menilai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis seseorang pelajar itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih fokus dan tenang.

“Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan. Ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta-tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperoleh boleh digunakan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Petaling, Fauzi Ahmad Marzuki berkata, peperiksaan awam itu masih relevan dan penting untuk menilai tahap pencapaian akademik murid.

“Saya tak bersetuju jika UPSR dimansuhkan kerana ia dapat menilai sejauh mana pencapaian murid sebelum ke sekolah menengah. Jika dimansuhkan, dengan apa cara lagi kita dapat menilai murid terbabit.

“Kementerian perlu memperkenalkan sistem lebih baik daripada yang sedia ada jika ia akan dilaksanakan. Saya amat berharap pihak berkenaan tidak gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak,” katanya. – Sinar Harian

Loading...