Isu Tok Lebai: Azmin Jadi MB Selangor Bukan Kerana PAS

KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengingatkan Dewan Muslimat PAS Selangor bahawa PAS tidak akan memenangi sebarang kerusi di negeri itu dalam pilihan raya sebelum ini tanpa bantuan DAP dan PKR.

Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha sebaliknya berkata, fakta menunjukkan bahawa PAS hanya mampu menembusi Selangor kerana mendapat kerjasama DAP dan PKR.

Beliau turut menegaskan bahawa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat menjadi Menteri Besar Selangor bukan kerana PAS.

“Azmin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor atas cadangan dan persetujuan rakan-rakan dalam pakatan dan bukan kerana PAS.

“Sebanyak 28 daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pakatan menyokong dan tiada satu pun daripada PAS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pimpinan PAS Selangor termasuk Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan semalam menyifatkan Mohamed Azmin sebagai manusia lupa daratan yang tidak boleh dijadikan kawan dan umpama kacang lupakan kulit.

Ia berikutan kebiadapan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mencemuh pemimpin PAS sebagai Tok Lebai yang sedang memasang hasrat untuk berkuasa di Selangor.

Lebai adalah panggilan kepada petugas masjid atau surau atau mereka yang menguruskan kerja-kerja hal ehwal agama Islam di kampung-kampung.

PAS sebelum ini mengumumkan parti itu menyasarkan untuk memenangi kerajaan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Haniza dalam pada itu mengingatkan Wan Hasrina bahawa beliau merupakan salah seorang Ahli Majlis MPAJ yang dilantik oleh kerajaan Selangor dibawah pentadbiran Mohamed Azmin.

“Sebaliknya Wan Hasrina menyerang dan mengutuk Kerajaan Selangor dan Menteri Besar dengan kenyataan yang tidak berasas,” katanya.

PKR dan DAP pada tahun 2014 menggulingkan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor kerana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu.

Wan Azizah bagaimanapun gagal menjadi Menteri Besar kerana tidak mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda kemudian memperkenan Mohamed Azmin menjadi Menteri Besar Selangor selepas nama beliau dikemukakan sebagai calon alternatif oleh pakatan pembangkang termasuk PAS untuk mengisi jawatan berkenaan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...