Isu Skandal Juwairiya-Amirudin Diurus UJST Bukit Aman

KUALA SELANGOR – Siasatan tuduhan skandal mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Asri A. Wahab berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis dilakukan Juwairiya menerusi pengawal pengiringnya, Abdul Basar Sulaiman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, semalam.

“Setakat ini hanya satu laporan sahaja diterima dan tiada tangkapan dilakukan.

“Siasatan kes kini dijalankan UJST, JSJ Bukit Aman,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria turut mengesahkan siasatan dilakukan UJST selepas menerima laporan polis daripada pegawai Amirudin semalam.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Juwairiya daripada parti PKR akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan dirinya mempunyai skandal dengan Amirudin.

Beliau dipetik berkata, turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu sama.

“Saya mengambil maklum terdapat fitnah yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab melalui akaun Facebook Aku Darah Anak Malaysia – ADAM yang dimuat naik pada Selasa lalu mengaitkan saya dengan Amirudin.

“Laporan polis dan SKMM dilakukan berikutan fitnah tersebut boleh mencemarkan imej serta kredibiliti saya selaku ADUN serta pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” jelasnya.

Tuduhan tersebut tersebar di media sosial sejak Selasa lalu dan pihak yang menuduh Juwairiya ada bersama Amirudin di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

Selasa lalu, Amirudin juga menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan Juwairiya dan telah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan.

Ketika kejadian katanya, beliau tiada di lokasi yang dikaitkan dalam tuduhan itu, malah pada waktu tersebut berada di Kuala Lumpur. – K! ONLINE