Isu Sajat: Batal Lesen Agensi Pelancongan Jika Berulang

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen agensi pelancongan yang menguruskan umrah usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman ke Tanah Suci, sekiranya syarikat itu mengulangi kesilapan sama.

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, sebagai pengendali umrah, syarikat itu seharusnya lebih teliti dalam mengenali jantina individu yang ingin dibawa ke Tanah Suci.

Tegasnya, tindakan sedemikian perlu diambil bagi memastikan imej negara tidak tercalar dengan perkara tidak sepatutnya selain menjaga kesucian tempat itu.

“Kita akan hubungi syarikat pelancongan itu dan beri amaran. Kalau buat lagi (ulangi kontroversi) kita akan batalkan lesen untuk jaga imej.

“Kalau bawa jemaah ke Tanah Suci sama ada haji atau umrah, saya fikir mereka perlu lebih teliti untuk kenali lelaki atau perempuan. Tidak akan berlaku mereka tidak kenal (lelaki atau perempuan),” katanya pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan di pejabat kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindakan akan diambil ke atas agensi pelancongan yang membawa usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Sajat ke Tanah Suci.

Mengulas lanjut, Mohammadin berkata, syarikat pengendali pelancongan dan umrah seharusnya mematuhi undang-undang negara yang dilawati bagi menjaga imej negara sepanjang di luar negara.

“Semua syarikat pemegang lesen menjaga tatacara perniagaan mereka termasuk mengawal kumpulan kendalian mereka,” katanya.

Dalam pada itu ditanya sama ada kementeriannya ada cadangan untuk mengadakan pertemuan dengan semua syarikat pengendali pelancongan dan umrah bagi memastikan kontroversi sama tidak berulang, Mohammadin berkata, buat masa ini tiada keperluan berbuat demikian.

“Kalau (agensi lain) tidak ada masalah buat apa hendak jumpa,” katanya. – Sinar Harian

Loading...