Isu Rombakan Kabinet Tidak Dibincang Semalam

PUTRAJAYA – Isu mengenai rombakan Kabinet tidak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah Menteri bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat berkenaan hanya membincangkan perkara berkaitan urusan kerajaan dan isu rombakan Kabinet langsung tidak disentuh.

“Mesyuarat itu hanya melibatkan pemimpin utama kerajaan dengan Perdana Menteri dan isu rombakan Kabinet langsung tidak dibincangkan, ia berkaitan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ura-ura rombakan Kabinet dengan kemasukan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Terdahulu, Guan Eng menghadiri Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 Perumahan Mampu Milik bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di sini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan DAP telah menghantar senarai nama baharu kepada Dr. Mahathir untuk rombakan Kabinet, Guan Eng berkata, perkara itu tidak benar sama sekali.

“Dari pihak DAP senarai adalah kekal seperti yang sedia ada, kami tidak hantar sebarang nama baharu. Perkara ini (rombakan Kabinet) adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Dr. Mahathir sudah jawap banyak kali, saya harap anda semua (wartawan) boleh rujuk ape yang Perdana Menteri jawap sebelum ini. Saya bukan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE