KANTOI… Niatnya mungkin mahu cuba cari salah era Barisan Nasional (BN) dalam isu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi alih perhatian peruntukan tahun depan skim ini teruk dipotong.

Namun tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang cuba jadi cybertrooper atau askar siber dengan dedah dokumen audit tahun 2015 mengenai RMT bertukar ‘makan’ diri sendiri, apabila perlihat kepincangan ‘bos’nya pula.

Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan, jika rujuk Laporan Ketua Audit Negara dan respons pihak Perbendaharaan, kerja audit kementerian tersebut dilaksanakan untuk tempoh 2013 hingga 2015.

“Kalau hendak ikut dokumen memo dalaman yang didedahkan oleh Maszlee pun, audit tersebut bermula 2 Ogos 2015. Datuk Seri Mahdzir Khalid jadi Menteri Pendidikan beberapa hari sahaja sebelum itu, iaitu 28 Julai 2015.

“Agaknya kalau ada sebarang kelemahan yang didapati dalam audit berkenaan, kelemahan itu di bawah pentadbiran siapa sebagai Menteri Pendidikan?” soal Shahril dalam hantaran terbaharu menerusi laman sosial Facebooknya.

Untuk rekod, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yasin pernah isi jawatan Menteri Pelajaran pada 2009 hingga 2013 sebelum dijenamakan semula sebagai Menteri Pendidikan dari 2013 hingga 2015.

Jelas Shahril lagi, jika merujuk kepada dokumen yang didedahkan oleh ahli Parlimen Simpang Renggam itu sendiri, audit tersebut jelas menyenaraikan ada wujud kelemahan pengurusan dan pelaksanaan RMT di peringkat bawahan.

Ini terutamanya dari pegawai terlibat di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah yang terbabit sahaja, serta bukannya soal korupsi atau salah guna kuasa individu secara berleluasa.

“Kalau lihat strategi pelaksanaan RMT pun, jelas bahawa pengoperasian banyaknya di bawah kelolaan sekolah dan PPD. Jadi Maszlee seakan-akan mahu mengaibkan penjawat awam dia sendiri, termasuklah guru-guru di sekolah.

Baca: Netizen Kutuk Maszlee ‘Jahil’ RMT Wujud Sejak 1979

“Atau mungkin menteri sekarang yakin bahawa pihak Kementerian Pendidikan kononnya sudah tidak ada sebarang lagi unsur kelemahan pelaksanaan ye? Semua A++?” soal Shahril dalam nada sinis merujuk isu kelemahan RMT itu.

Tambah jengkel ujar beliau, isu RMT ditimbulkan di Dewan Rakyat oleh ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan sewajarnya Maszlee sebagai menteri perlu menjawabnya juga di tempat yang sama, bukannya di media sosial.

“Menteri ada ruang dalam penggulungan kementerian minggu depan untuk jawab persoalan yang dikemukakan. Tidak perlu menteri pula jadi seperti cybertrooper untuk keluarkan kenyataan melalui Facebook dengan nada sinis.

“Tindakan menteri ini hanya menunjukkan kelemahan beliau yang jelas tidak memahami asas kepada masalah yang dihadapi oleh pihak kementeriannya sendiri,” bidas Shahril merujuk pendedahan Maszlee menerusi laman siber.

Justeru jelasnya lagi, gaya penulisan Maszlee di Facebooknya yang konon mahu tiru gaya Datuk Seri Najib Tun Razak atau Khairy Jamaluddin dengan tampak diri seolah-olah ‘cool’ (tenang) bahasa bersahaja pun tidak menjadi.

Ini kerana ‘point’ atau hujah yang dibentangkan Maszlee itu agak melalut jauh sehingga ‘ke laut’ dan takut-takut beliau pula tidak langsung memaparkan imej penampilan dirinya sebagai seorang menteri kabinet berwibawa.

“Saja hendak maklum menteri, soal gaya ni susah nak ajar. Kalau ada skill (kemahiran) tu dengan natural (semula jadi), boleh. Kalau tiada, tidak perlu tiru ‘stail’ orang. Guna sahaja ayat skema pun tak apa, selagi ‘point’ masih ada.

“Sebab kalau cuba sangat, takut ‘point’ itu ke laut dan kenyataan tidak paparkan sifat seorang menteri ada ‘class’, sinis Shahril yang buat bandingan hantaran ‘pedas’ Najib sering tular melalui media sosial. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...