Isu Perkenan Agong, Hangatkan Dewan Pagi Ini

KUALA LUMPUR – Hari kedua Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini berlangsung dengan aturan mesyuarat bertumpu kepada penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkenaan isu kesihatan awam dan tindakan menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Belum pun sempat Dr Adham memberikan penerangannya sebaik sidang bermula jam 10 pagi tadi, suasana dewan kembali tegang selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun membangkit peraturan mesyuarat untuk mempersoalkan keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

Takiyuddin semalam mengumumkan kerajaan sudah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini, selain memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Bagaimanapun pagi ini, beberapa Ahli Parlimen pambangkang mendesak supaya Takiyuddin memberikan penjelasan mengenai pengumuman yang dibuat sama ada ia sudah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong atau belum.

Ahli Parlimen Punchong, Gobind Singh Deo bangun, meminta menteri memberikan perincian mengenai maksud perkataan ‘revoke’ seperti yang disebutkan Takiyuddin semalam.

‘Revoke’ soal dia, apakah maksud ‘revoke’ semalam. Kita dengar menteri sebut keputusan dibatalkan oleh kabinet. Ini satu soalan penting dan satu isu melibatkan kepentingan awam. Apakah yang berlaku pada 21 Julai sudah diperkenankan Yang Dipertuan Agong. Adakah ia mengikut prosedur ditetapkan dalam Perlembagaan.

“Sekiranya sudah dibatalkan mengapa kita tidak dimaklumkan, rakyat tidak tahu. Kenapa kita tidak dimaklumkan, mengapa tidak diletakkan di meja setiap Ahli Parlimen supaya kita dapat tahu secara spesifik, bila ia dibatalkan siapa yang buat keputusan. Adakah ikut peraturan dan kesan dia terhadap ordinan khususnya kepada rakyat umum,” katanya.

Persoalan sama juga dibangkitkan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH- Lembah Pantai); RSN Rayer (PH-Jelutong) serta Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna), dengan hujah, keputusan diumumkan semalam itu mengelirukan ramai pihak.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bangun pula menjelaskan jika proses pembatalan masih berjalan, ia mesti dimaklumkan kepada Dewan Rakyat sebelum satu pernyataan mengenai pembatalan diumumkan.

“Kalau belum kata belum dan umumnya ahli berhormat belah sana dan belah sini tahu memamg Agong belum perkenan. Jadi mengapa Perdana Menteri dan menteri tak boleh jawab ia dalam proses atau kerja-kerja sedanag dijalankan, inikan memudahkan perbincangan kita.

“Ini usaha Parlimen, jadi jangan buat helah bincang hari Isnin. Kita bincang ini yang terkait dengan ordinan. Menteri kata sudah batal, kalau belum (batal), bagitahu saja bahawa saya tersilap, maksud saya kabinet putuskan.. baru nak dipersembah kepada Agong, bagi ruang dan waktu kepada Agong menimbang dan memperkenan,” katanya.

Isu ini turut dibangkitkan ramai Ahli Parlimen semalam, menyebabkan sidang dewan acapkali terganggu.

Kemudian, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, pula menjelaskan bahawa keputusan sudah dibuat Speaker Dewan Rakyat semalam, dengan isu berkenaan perkenan itu akan dibahaskan pada Isnin depan.

“Speaker sudah buat ‘rulling’ Isnin (depan). Kalau tidak puas hati pergi mengadap speaker. Saya minta maaf, saya kena teruskan dengan Menteri Kesihatan,” katanya.

Hari ini, sebahagian besar Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat untuk mengikuti penerangan dan mengambil bahagian untuk bertanyakan persoalan mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu kesihatan awam dan tindakan mendepani pandemik COVID-19.

Kredit: BH Online