Isu Pengerusi PAC Bercanggah Dengan Hasrat PH

ISU kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang hangat ketika ini turut menarik perhatian mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diulas.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Najib berpendapat situasi semasa yang menyaksikan jawatan Pengerusi dan timbalan pengerusi disandang oleh ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menunjukkan kecelaruan di dalam pentadbiran kerajaan.

Ini kerana katanya, keadaan tersebut jelas bercanggah dengan hasrat PH untuk menguatkan proses semak dan imbang serta ketelusan di dalam pentadbiran kerajaan.

Bahkan ujar Najib, PAC sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbirannya juga tidak pernah berlaku keadaan seperti yang berlaku sekarang.

“Di bawah kerajaan BN semasa saya PM, (Pengerusi PAC) adalah dari parti pemerintah. Manakala, Timbalan Pengerusi PAC adalah sentiasa dari parti pembangkang.

“Sebelum PRU14, PH mengkritik perlantikan ini dengan hebat. Mereka kata Pengerusi PAC patut dipilih dari wakil parti pembangkang kerana ini akan menguatkan proses semak dan imbang serta ketelusan kerajaan.

“Oleh itu, PH berjanji dalam manifesto mereka bahawa Pengerusi PAC akan dipilih dari wakil parti pembangkang. Itu janji mereka.

“Tetapi realiti hari ini di bawah kerajaan PH ialah kedua-dua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC adalah dari parti pemerintah berbanding Pengerusi dari parti pemerintah dan Timbalan dari parti pembangkang di bawah BN.

“PH janji mahu memperbaiki pengurusan negara tetapi apa yang berlaku ialah mereka telah melemahkannya pula,” tulis ahli Parlimen Pekan itu.

Pada masa ini jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC disandang oleh ahli Parlimen PH selepas Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bertindak meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Semalam tiga wakil pembangkang di dalam PAC meletakkan jawatan mereka sebagai protes terhadap perkara tersebut.

Bahkan ahli PAC di kalangan ahli Parlimen PH turut membantah kedudukan Ronald sebagai Pengerusi PAC.

Sebelum ini ahli Parlimen Subang, Wong Chen menulis surat bantahan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung keputusan mengekalkan Ronald sebagai pengerusi PAC.

Surat bantahan itu disokong oleh lapan anggota PAC dari PH itu ialah Wong Chen (Subang), Willie Mongin (Puncak Borneo), Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Baru), Wong Hon Wai (Bukit Bendera), Steven Choong (Tebrau) dan Wong Shu Qi (Kluang).

Selain itu, beberapa pemimpin PH termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hannah Yeoh, Nurul Izzah Anwar dan Sim Tze Tsin turut menggesa agar PH berpegang pada janji manifesto berhubung perkara itu. – Agenda News

Loading...