Isu MA63, Pindaan Perlembagaan Persekutuan Dibincang Segera

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat dengan parti dari Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan diadakan menerusi bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak) yang diterajui Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.

“Kami akan memanggil mesyuarat untuk membincangkan MA63 dan juga pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memenuhi hajat dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian berkenaan.

“Kami akan melakukan ini dengan segera,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya di sini, hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini cuba meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan pada 9 April tahun lalu tetapi gagal mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen dari Sarawak dan pembangkang memilih untuk tidak mengundi.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata, Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi kerana ia tidak termasuk frasa ‘mengikut Perjanjian Malaysia 1963’.

Pada Disember lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pindaan itu akan dibentangkan semula bulan ini.

Pindaan itu memerlukan dua pertiga suara majoriti di Dewan Rakyat atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen.

Loading...