Isu LGBT: Siapa Akan Menang Akhirnya?

SELAIN isu kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, YB Datuk Dr Mujahid Yusof, negara dikejutkan dengan perlantikan seorang aktivis LGBT dan pengasas kepada Pelangi Campaign (boleh kunjungi laman facebook rasmi di https://www.facebook.com/PELANGICampaign/), saudara Numan Afifi sebagai pegawai khas kepada YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan.

Numan terkenal dengan pengajuran Big Gay Iftar tahun lalu (Boleh baca di sini:Penganjur: Kenapa Kami Anjur ‘Big Gay Iftar’). Beliau pernah aktif dalam Pemuda DAP (DAPSY) Subang.

Kemudian, YB Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak kementerian belum memuktamadkan sebarang jawatan dalam Kementerian.

Saya petik kenyataan beliau; “Sehingga kini, tiada satu pun pegawai yang telah dilantik di pejabat Menteri Belia dan Sukan secara rasmi. setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai tugas-tugas khas juga belum ada.”

(Boleh baca  Pegawai khas gay? Ini jawapan Syed Saddiq). Apa yang mungkin sedikit mencurigakan adalah nama Numan memang sudah ada dalam laman web Kementerian Belia dan Sukan dan kemudiannya nama beliau hilang dari direktori KBS setelah dikritik hebat netizen.

Saya kira kenyataan YB Menteri itu adalah positif dalam konteks kejayaan sebahagian rakyat dalam memberikan nasihat kepada pemimpin dalam melaksanakan tugas dengan lebih baik. Tapi itu bukan fokus tulisan saya.

Tindakan YB Menteri sebenarnya telah dikritik keras oleh kumpulan pro LGBT. Hujahnya, seseorang itu tidak boleh didiskriminasi daripada mendapat peluang pekerjaan hanya kerana status seksualiti mereka. Antara yang mengkritik beliau adalah Datuk Ambiga Sreenevasan yang terkenal dengan gerakan BERSIH dahulu dan kini merupakan ahli Jawatankuasa Reformasi Institusi , satu institusi di bawah Majlis Penasihat (Council of Eminent Person). Datuk Ambiga mempunyai hubungan rapat dengan NGO Seksualiti Merdeka dan sepatutnya merasmikan NGO tersebut (Police To Question Ambiga Over Seksualiti Merdeka/ & Seksualiti Merdeka Hentikan Semua Acara Awam) yang kemudiannya dibatalkan.

Antara yang juga mengkritik YB Syed Saddiq adalah Pang Khee Teik, pengasas Seksualiti Merdeka. Anda boleh membaca kisah hidup beliau di Discovering Pang Khee Teik – Faith, Sexuality, Art and Activism dan pandangan beliau berkenaan isu ini di laman facebook beliau. Saudara Syahredzan Johan (saya tidak tahu samada beliau pro LGBT atau tidak), Setiausaha Politik kepada YB Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Iskandar Puteri) telah menyebut bahawa “Mereka yang benar-benar mahu menyumbang kepada negara mesti diberi peluang untuk berbuat demikian, tidak kira agama, kepercayaan, ras, identiti seks, warna kulit mahupun haluan politik mereka. Tidak patut ada diskriminasi atau halangan ke atas mana-mana individu yang mempunyai kebolehan dan keupayaan daripada berkhidmat untuk Malaysiah hanya atas sebab-sebab ini” yang saya kira sebagai salah satu respons kepada isu yang sama (boleh baca di https://www.facebook.com/syahredzan/posts/10156382134384014).

Begitu juga reaksi yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen DAP bagi Kawasan Klang, YB Charles Santiago (boleh baca We can’t afford to keep discriminating against LGBT in ‘new M’sia’), Pemuda Sosialis Malaysia (boleh baca di https://www.facebook.com/PemudaPSM/posts/2071986026168025) dan aktivis golongan transeksual, Nisha Ayub (boleh baca di https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=619413825091315&id=100010681088427).

YB Charles sebenarnya antara yang vokal dalam isu hak LGBT sudah agak lama dan pandangan beliau pernah dimuatkan dalam laman rasmi DAP: Stop bigotry and hatred against the LGBT people.

Selain itu, anda boleh juga ikuti pandangan netizen dalam isu ini di Yoursay: Syed Saddiq, new M’sia should not discriminate against LGBT. Ramai yang mengaku bahawa mereka adalah pengundi Pakatan Harapan dan mahu melihat perubahan dalam aspek ini berbanding apa yang telah berlaku dalam kerajaan lalu.

Saya kira persoalan yang dilontarkan perlu kepada perbincangan lebih dalam. Suka saya berikan analogi kes paedofilia dan hak pekerjaan. Seseorang yang telah terlibat dengan jenayah paedofilia adalah wajar dilarang bekerja di institusi yang melibatkan kanak-kanak. Walaupun beliau seorang yang mempunyai kelebihan dalam pengkeranian sebagai contoh, tidak boleh dibenarkan beliau bekerja di pejabat sekolah kerana di sana boleh berlaku kemungkinan jenayah itu berulang lagi. Mana-mana pekerjaan yang tidak melibatkan kanak-kanak, sewajarnya mereka diberikan peluang apatah lagi jika mereka sudah menjalani hukuman kerananya. Saya kira semua boleh menerima hujah ini.

Saudara Numan bukan sahaja telah mengisytiharkan beliau seorang gay malah beliau adalah pejuang hak golongan berkenaan. Ada perbezaan besar antara kedua-dua perkara ini. Kementerian Belia dan Sukan adalah sebuah kementerian yang bertanggungjawab ke atas program-program belia dan pastinya semua yang dirancang dan diimplementasi oleh kementerian adalah bertujuan melahirkan generasi yang baik. Mengambil kira latar belakang saudara Numan sebagai pejuang hak LGBT serta portfolio KBS, saya kira tindakan YB Menteri (jika benar beliau menamatkan perkidmatan saudara Numan) adalah tepat dan wajar. Jika tidak, kredibiliti kementerian akan tercalar dan tidak akan mendapat kepercayaan sepenuhnya oleh rakyat.

Persoalan seterusnya, adakah saudara Numan tidak boleh langsung bekerja atau dinafikan hak mendapat pekerjaan di tempat lain? Saya kira itu hak majikan yang bergantung kepada sifat dan kesesuaian pekerjaan. Adakah golongan ini akan didiskriminasi? Itu pastinya tidak mustahil. Jika kita melihat situasi pengambilan pekerjaan dalam negara, diskriminasi memang wujud seperti hanya sesetengah bangsa dicari atau yang bertudung tidak akan diambil bekerja dan seumpamanya. Jika sedemikian keadaannya, ia lebih pasti berlaku ke atas golongan yang tidak diiktiraf kerajaan (boleh baca kenyataan terbaru YB Datuk Dr Mujahid di LGBT Tidak Akan Diiktiraf) dan sudah jelas statusnya dalam agama. Setakat pemerhatian saya, biasa saya temui golongan ini bekerja dalam bidang profesional, perniagaan (seperti cashier, promoter minyak wangi) dan banyak lagi. Dalam keadaan semua rakyat wajar diberi peluang bekerja atas sebab kita sebagai manusia perlukan wang untuk hidup, golongan LGBT sepatutnya sudah menjangkakan halangan-halangan yang akan ditempuhi setelah mengambil keputusan menjalani kehidupan sebagai LGBT.

Saya suka untuk akhiri nukilan saya ini dengan ingatan bahawa gerakan mempromosi LGBT adalah besar dan mempunyai rantaian antarabangsa. Kini, ideologi ini semakin kuat kerana semakin ramai di kalangan orang politik yang berada di sebelah kerajaan persekutuan berprinsip sedemikian. Orang Islam tidak boleh hanya melihat isu ini dalam konteks dakwah semata-mata tetapi perlu menggunakan kuasa yang ada bagi membendung agar pengaruh mereka tidak membesar. Isu hak bekerja adalah sebahagian kecil daripada hak yang mereka mahu perjuangkan. Saya kira YB Datuk Dr Mujahid dan YB Fuziah Salleh serta ahli-ahli politik Islam dalam kerajaan persekutuan kini akan berhadapan tekanan yang sangat kuat.

Buat teman-teman LGBT terutama yang beragama Islam, anda tidak salah kerana hanya diuji dengan perasaan sedemikian, tetapi salah apabila kalian mempraktikkannya apatah lagi memperjuangkan agar ia sah dan diterima masyarakat sebagai sesuatu yang normal. Anda tahu bahawa ramai yang telah dan akan menolak kalian tetapi ada sebenarnya yang mahu membantu kalian. You just need to make the right choice.

Jadi siapakah yang akan menang kelak? Tepuk dada, tanya iman.

#prayformalaysia

Sumber: Fairuz Azmi

Loading...