Isu ICERD: PM Patut Ikut Prosedur Rasmi

RAGU… Pertikaian kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri berhubung keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak ratifikasi konvensyen kontroversi terus diragui pelbagai pihak.

Pihak pembangkang termasuk Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa semalam terus menggesa kerajaan PH supaya mengikut prosedur tetap dalam isu pengumuman keputusan serius berkaitan dasar luar negara ini.

Ini kerana kenyataan akhbar mengenai keputusan tidak akan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah jelas tidak mengikut formaliti pentadbiran.

Terkini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia hanya boleh disahkan melalui tanda tangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dan bukan sekadar keluar kenyataan media sahaja

Beliau selaku Pengerusi PH perlu kemudiannya membawa usul ‘panas’ tersebut kepada pihak Parlimen agar direkodkan dalam hansard iaitu dokumen rasmi segala usul yang pada kelazimannya diperbahaskan wakil rakyat.

“Pendekatan ini (hanya keluar kenyataan media) tidak boleh diterima (pembangkang) dan tidak menjamin ianya akan berubah pada bila-bila masa sahaja, apatah lagi ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa semalam.

Baca: PM Kena Cakap Di Parlimen, Bukan Kenyataan Media

“Sehingga ianya dimasukkan ke dalam hansard Parlimen, kami sukar untuk mempercayai keikhlasan kerajaan dalam membuat keputusannya.” ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Tambah beliau, pembangkang namun berterima kasih kepada keputusan tersebut dan percaya ia ada kaitan dengan Perhimpunan Kebangkitan Ummah dalam menentang ICERD di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

“Ia juga dipercayai ada hubungan dengan langkah politik Kerajaan PH menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau di Negeri Sembilan tidak lama lagi,” kata Ahmad Zahid menerusi kenyataan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semalam turut mencetuskan tanda tanya kerana selain tidak ditanda tangani Mahathir, ia juga menyebut kerajaan PH dan bukannya kerajaan Malaysia.

Perkara berkenaan sekali gus mencetuskan keraguan pelbagai pihak sama ada kenyataan tersebut sebenarnya adalah sahih atau pun palsu untuk reda kemarahan umat Islam di negara ini. – Agensi/Mynewshub.TV