KUALA LUMPUR – Isu cadangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor supaya ganja ditanam besar-besaran di negara ini mencuri tumpuan wakil pembangkang dan penyokong kerajaan dalam sidang Dewan Rakyat.

Pertikaman lidah berlaku apabila beberapa wakil pembangkang mempertikaikan cadangan itu sehingga wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa penyokong kerajaan.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mempertikaikan cadangan berkenaan yang dilihat menyalahi undang-undang negara.

“Belum lagi kajian dibuat mengenai kelapa sawit, tanam buluh. Selepas tu nak naikkan pendapatan rakyat dengan tanam ganja dalam negara ini. Apa ni? Ini ADUN dalam negeri Selangor. Dari Pakatan Harapan minta tanam ganja luas-luas dalam negara.

“Menteri Kabinet prestasinya pun tidak memuaskan, Yang Berhormat ADUN pun mencadangkan tanam ganja. Itu pun saya tidak boleh terima,” katanya sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangkit mencelah menyokong kenyataan Ismail dan menyifatkan Akta Dadah Merbahaya 1952 menyenaraikan ganja merupakan salah satu bahan yang termasuk berbahaya.

“Ini satu cadangan yang tidak masuk akal. Hukuman mati mandatori. Mengapa pasukan PH mencadangkan supaya tanam ganja ni?” tegasnya.

Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) pula bangkit mencelah dengan mengatakan bahawa perkara itu cuma satu cadangan. – UTUSAN ONLINE

Loading...