Isu Berkaitan GST Belum Dibincang – Mahathir

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan masih belum ada perbincangan dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkaitan pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Dr. Mahathir, ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan GST baru-baru ini, beliau hanya menjawab soalan media meskipun tiada perbincangan dilakukan pada waktu tersebut.

“Kalau timbul permintaan daripada rakyat, kita sensitif kepada kehendak rakyat dan kita akan kaji. Tapi tidak ada kajian yang dibuat pada waktu ini.

“Masa saya menjawab itu belum ada persidangan Majlis Presiden,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen pagi tadi.

Semalam, Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan kerajaan bersedia menambah baik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bukan bermakna akan mengembalikan sistem GST.

Beliau berkata, laporan media sebelum ini seolah-olah menggambarkan kerajaan akan melaksanakan semula GST adalah tidak tepat.

“Mengambil kira pendapat sesetengah rakyat (kembalikan GST) dan saya ditanya oleh media.

“Ya kita akan pertimbangkan. Tapi ia tidak bermakna kita akan setuju. Kita akan tambah baik SST.

“Tetapi media melaporkan seperti kita putuskan untuk mansuh SST untuk GST. Sudah tentu pembangkang gembira. Laporan media buat pembangkang gembira,” katanya semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya perkembangan terbaru Malaysia Airlines (MAS), Dr. Mahathir memaklumkan ada banyak pembida untuk membeli syarikat penerbangan itu.

“Saya belum lagi bercakap dengan mereka. Ada banyak pembida yang terdiri daripada pelabur tempatan tapi itu bergantung kepada Khazanah untuk buat keputusan,” katanya.

Loading...