Isu Berbuka Puasa, AJK Kuil Tidak Dimaklumkan

JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Gurdwara Sahib Johor Bahru menegaskan pihaknya langsung tidak dimaklumkan mengenai penganjuran Majlis Iftar Muhibbah Bersama Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, semalam.

Pengerusinya, Manjit Singh berkata, majlis tersebut dirancang oleh salah seorang ahli biasa Gurdwara Sahib Johor Bahru dan tidak membabitkan sebarang ahli jawatankuasa kuil Sikh itu.

“Malah tiada sebarang jemputan mengenai majlis berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Johor Bahru itu dipanjangkan kepada ahli jawatankuasa mahupun ahli Gurdwara Sahib Johor Bahru.

“Tiada sebarang surat rasmi mengenai penganjuran majlis berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Johor Bahru itu dikemukakan kepada pihak jawatankuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Manjit berkata, pihak Jawatankuasa Gurdwara Sahib Johor Bahru turut ingin menegaskan bahawa pihaknya tidak terbabit dalam sebarang penganjuran mahupun perbelanjaan majlis tersebut.

“Ahli biasa itu hanya memaklumkan mengenai satu majlis akan diadakan pada 29 Mei 2019 bertempat di Dewan Makan kepada dirinya pada Ahad lalu.

“Pihak jawatankuasa Gurdwara Sahib Johor Bahru amat kesal dengan perkara ini kerana ia telah mengundang pelbagai persoalan dan perkara ini amat sensitif,” katanya.

Beliau berkata, “Gurdwara Sahib Johor Bahru sentiasa mengalu-alukan kehadiran masyarakat pelbagai bangsa dan agama, namun jawatankuasa akan memastikan sebarang program dianjurkan melibatkan kehadiran agama atau bangsa lain, dirujuk kepada pihak atau jabatan berkaitan,” katanya. – Sinar Harian