Isu Bendera: Pengarah Urusan Dipanggil Semula Beri Keterangan

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil semula pengarah urusan sebuah syarikat konsultan teknologi maklumat yang menguruskan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa perasmian Kejohanan Kebangsaan Piala Lum Mun Chak Bawah 15 Tahun, di Stadium Maba, di sini bulan lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu berkenaan akan dipanggil semula bagi melengkapkan siasatan selepas keterangannya diambil pada Khamis lepas.

“Individu ini akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk direkodkan keterangan buat kali kedua,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Setakat ini empat individu termasuk Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) Datuk Lua Choon Hann telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, beberapa individu lain akan dipanggil dalam masa terdekat termasuk beberapa pemilik akaun laman sosial bagi membantu siasatan.

Pada 27 November lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya menerima sembilan laporan berhubung kejadian itu dan polis akan menyiasat sama ada video yang dimuat naik itu secara sengaja dilakukan untuk mengganggu ketenteraman awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Imej Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima itu dipaparkan menerusi klip video yang berdurasi satu minit 42 saat ketika nyanyian lagu Negaraku semasa perasmian kejohanan bola keranjang itu pada 25 November lepas.

Loading...