Isu Batu Puteh: KJ Kecam PM Singapura

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini mengecam komen perdana menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mempertikaikan usaha Malaysia untuk menyemak semula keputusan penyerahan Pulau Batu Puteh kepada republik itu.

Kata Khairy, dakwaan Hsien Loong yang mengaitkan semakan semula keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 yang lalu itu sebagai satu langkah untuk memenangi pilihan raya ke-14 nanti mampu menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura.

“Memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain seperti mana yang dibuat Lee Hsien Loong dengan kenyataan beliau ini yang dibuat semasa konvensyen parti PAP.

“Namun tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya atau konvensyen politik sahaja,” kata Khairy dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada kongres PAP Ahad lalu, Hsien Loong melahirkan rasa pelik dengan tindakan Putrajaya untuk mencabar keputusan itu, di mana Singapura diisytiharkan menjadi pemilik Pulau Batu Puteh yang juga dikenali sebagai Pedra Branca itu.

“Saya anggap isu itu sudah pun diselesaikan tidak lama dulu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008, yang memberikan Pedra Branca kepada Singapura. Tetapi hampir sedekad kemudian, Malaysia ke ICJ lagi memohon mahkamah memberi menyemak semula keputusan itu.

“Saya tidak pasti apa motif Malaysia, tetapi pilihan raya umum mereka sedang hampir, dan mungkin ia ada kaitan,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula keputusan penghakiman ICJ mengenai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge selepas penemuan 3 dokumen oleh Malaysia dalam simpanan arkib di Britain bagi menguatkan lagi sokongan ke atas tuntutan tersebut.

Kata Khairy, tempoh masa antara penemuan dokumen itu iaitu pada Ogos 2016 dan pemfailan di mahkamah pada Februari lalu adalah genap 6 bulan.

“Permohonan ini dan permohonan kedua yang dibuat pada 30 Jun 2017 untuk pentafsiran penghakiman bukan dibuat secara sambil lewa tanpa asas yang kukuh,” katanya.

“Sebagai peringatan, Parlimen Malaysia masih belum dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu tersebut,” kata Khairy lagi. – MYNEWSHUB.CC

Loading...