Isu Banjir: BN Sifatkan Guan Eng Masih Tidak Insaf

GEORGE TOWN – Seorang wakil rakyat hari ini menyifatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai tidak insaf apabila masih cuba menuding jari kepada pihak lain sebagai punca banjir di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) belum surut sepenuhnya.

Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata beliau berasa dukacita dengan sikap suka menuding jari ketua menteri itu yang masih mencari salah orang lain.

“Saya ingat dia (Guan Eng) dah insaf dan tidak mahu lagi mencari salah orang, tetapi baru saja dua hari berlalu, air banjir pun belum surut lagi, dia telah menyalahkan air banjir itu kepada negeri Kedah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng ketika mengumumkan Program Pulau Pinang Bangkit bagi membantu mangsa banjir pada persidangan DUN, berkata air mulai surut kecuali di kawasan SPU dan SPT yang masih menghadapi tempias banjir di Kedah berikutan air daripada negeri itu melimpah keluar ke sungai-sungai di sini.

Selain pemberian secara one-off RM500 kepada mangsa banjir, Guan Eng turut mengumumkan pengecualian bayaran surcaj konservasi untuk pengguna domestik bagi tempoh bayaran satu pusingan (dua bulan), serta diskaun air sebanyak 50 peratus kepada pengguna domestik dan 25 peratus untuk pengguna komersial.

Muhamad Farid bagaimanapun merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan RM500 yang akan diberi kepada mangsa banjir negeri ini.

“Walaupun saya cadangkan RM2,000 di dalam dewan ini, pemberian RM500 tetap membantu kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Berhubung pengecualian konservasi air sebanyak satu pusingan untuk pengguna domestik, Muhamad Farid berkata sepatutnya kerajaan negeri memansuhkan surcaj itu.

“Dahulu tidak ada surcaj, yang adakan surcaj adalah kerajaan negeri. Sepatutnya dimansuhkan terus lebih baik,” katanya. – BERNAMA

Loading...