Isu Bagasi Tercicir, MAB Mohon Maaf Kepada Che Ta

BERIKUTAN luahan kecewa pelakon Rozita Che Wan di laman Instagram, syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) tampil membuat permohonan maaf.

Baca: ‘Service MAB Memalukan!’ – Che Ta Kecewa Beg Tercicir

Isu Bagasi Tercicir, MAB Mohon Maaf Kepada Che Ta

Permohonan maaf daripada syarikat penerbangan itu dibuat menerusi ruangan komen Rozita, pada Jumaat.

Sementara itu, Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta, 43, memberitahu dia telah pun menerima beg bagasi pakaiannya pada malam kejadian itu berlaku.

“Beg saya sudah dipulangkan pada malam itu juga dan pihak MAS ada memohon maaf menerusi ruangan komen di Instagram saya semalam.

“Ini bukan kali pertama berlaku, setakat ini sudah dua kali tapi saya lihat ramai pengikut laman sosial saya pernah mengalami nasib yang sama.

“Perkhidmatan mereka dalam pernerbangan memang terbaik, cuma tentang bagasi teruk sangat, sampaikan kalau beg hilang kita sendiri yang kena turun padang cari. Kalau harapkan kakitangan mereka memang tidak dapatlah beg itu,” ujarnya kepada mStar Online.

Terdahulu, Che Ta meluahkan rasa kecewanya terhadap perkhidmatan MAB yang dahulunya dikenali sebagai MAS gara-gara syarikat penerbangan itu telah tercicir beg bagasinya di Kuala Lumpur.

Insiden berlaku ketika dia terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Dek permasalahan yang timbul itu, Che Ta mendakwa tidak dapat menghadiri satu majlis makan malam kerana MAB tercicir beg bagasinya.

Che Ta juga menyifatkan insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana dia memilih menaiki kelas bisnes dan beg penumpang bagi kelas itu tidak banyak hingga begnya boleh tercicir.

Luahan Che Ta menimbulkan pelbagai reaksi peminat di laman Instagram, ada yang bersimpati dan tidak kurang juga menyelar Che Ta kerana berasakan bintang itu membesar-besarkan keadaan. – MYNEWSHUB.CC