Isu 31 Warga Indonesia Ceroboh Hutan Tamat

ISU pencerobohan di kawasan Perlindungan Liar Samusam, Sarawak oleh sekumpulan rakyat Indonesia berjaya ditangani pihak berkuasa dalam kerja pembersihan yang tamat semalam.

Lapor akhbar tempatan, hutan tersebut telah diceroboh oleh 31 orang penduduk Indonesia yang menetap di Kampung Cemar Bulan di Temajuk, Kalimantan Barat sejak 19 Februari tahun lalu.

Kerja-kerja pembersihan telah dijalankan oleh anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11-RAMD) dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Turut terlibat ialah ialah Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD), Polis Republik Indonesia (POLRI) dan agensi-agensi tempatan yang berkaitan.

Isu itu bermula apabila Markas 3 Briged menerima beberapa aduan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), JHS, SFC dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui pejabat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sarawak pada tahun lalu.

Berikutan itu, Briged Ketiga Infantri Malaysia dan Korem 121/ABW, Indonesia telah bekerjasama melaksanakan tinjauan di kawasan tersebut pada 30 Mac tahun lalu.

Mereka mendapati memang ada tanaman kebun getah dan lada hitam seluas lapan hektar di kawasan milik Sarawak sejak sembilan tahun yang diusahakan oleh 31 orang warga Indonesia.

Keputusan telah dibuat dengan dipersetujui kedua-dua delegasi 29 Ogos lalu dengan penduduk Kampung Camar Bulan perlu meroboh dan memusnahkan ladang diusahakan secara haram itu sehingga 31 Disember tahun lalu.

Kerja pembersihan membabitkan penebangan 6,757 batang pokok daripada pelbagai jenis tanaman seperti getah, lada hitam dan sawit.

Penutupannya telah dirasmikan oleh Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd. Bustaman Mat Zin semalam.

Dalam ucapan pada majlis tersebut, pihaknya berharap agar hubungan bilateral yang terjalin dengan Indonesia sejak 45 tahun lalu akan kekal baik pada masa depan.

“Saya berharap sifat toleransi dan bertolak ansur antara pemerintah kekal baik agar permasahan berkaitan persempadanan dapat diselesaikan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

*Video sekadar hiasan…