Isteri Terkilan Dimadukan Dengan Budak 11 Tahun

TULAR menerusi laman sosial mengenai kisah seorang wanita meluahkan rasa terkilan selepas mengetahui bahawa suami telah berkahwin dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Effa Zulkifle memuat naik beberapa status dan gambar berhubung perkara itu di Facebook miliknya semalam.

Wanita tersebut menerusi salah satu entri, memuat naik ucapan selamat pengantin baharu buat suami dan madunya itu.

Menerusi entri berkenaan juga, wanita itu turut sertakan beberapa foto pasangan itu bersalaman di samping seorang wanita pertengahan usia dipercayai ibu kepada madunya itu.

Sementara itu, dalam entri lain, wanita berkenaan turut menceritakan mengenai beberapa insiden menyayat hati yang dialami olehnya yang mana membuatkan ramai terkedu.

Pada masa sama, wanita tersebut turut meluahkan derita yang ditanggung akibat mempuyai seorang suami yang tidak bertanggungjawab tetapi hendak berpoligami.

Kata Effa, dia pernah mengalami kerosakan kereta di tengah jalan sebanyak 4 kali. Namun, apabila dia menghubungi suami bagi memaklumkan hal itu, hanya dibalas dengan kata-kata kesat sahaja.

Tambah Effa lagi, dia sudah penat bekerja untuk membesarkan anak-anak mereka. Katanya, apabila wang belanja diminta, hanya sumpah seranah diberikan malah mereka tidak pernah beraya atau bercuti bersama.

Memetik beberapa sumber, Mynewshub difahamkan Effa merupakan isteri kedua kepada lelaki berkenaan dan dia mempunyai hubungan baik dengan isteri pertama.

Kanak-kanak atau madu yang dikahwini oleh suaminya itu pula ialah isteri ketiga dan merupakan rakan kepada anak isteri pertama.

Sumber berkata, isteri pertama dan kedua bekerja sebagai peniaga manakala lelaki terbabit pula dikenali sebagai imam di kampung mereka.

Pada awalnya, perkhabaran mengenai pernikahan itu telah tersebar meluas sebelum ini namun ia dinafikan lelaki berusia 41 tahun itu.

Pun begitu, bukti pernikahan itu bagaimanapun dapat ‘dihidu’ oleh salah seorang daripada isterinya dan kemudiannya memberitahu kepada isteri yang seorang lagi.

Setelah segalanya terbongkar, lelaki terbabit memberi alasan apa yang dilakukan itu konon adalah sunnah Rasulullah SAW.

Malah, lebih memilukan lelaki itu terus pulang ke rumah ibu bapanya tanpa mempedulikan usaha isteri-isterinya yang menguhubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Menurut sumber itu lagi, kanak-kanak terbabit dan ahli keluarganya bukanlah warganegara Malaysia dan perkahwinan itu dilangsungkan di negara gajah putih iaitu Thailand.

Apa yang lebih memeranjatkan, menerusi satu imej tangkap layar yang tersebar, kanak-kanak terbabit dikatakan langsung tidak merasakan dirinya sebagai mangsa malah berbangga dapat berkahwin dengan lelaki tersebut.

Perkongsian tersebut nyata mendapat perhatian orang ramai yang mana rata-rata melepaskan kemarahan dan rasa kurang senang berhubung perkara poligami berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah terdapat juga segelintir netizen yang mahu perkar ini disiasat oleh pihak berkuasa kerana berkemungkinan membabitkan pesalah seksual pedofilia.

Bukan sahaja netizen, malah Dr. Amalina Bakri turut terkejut dengan perkara itu dan berpendapat kanak-kanak terbabit tidak patut dikahwini kerana masih di bawah umur.

Ujar pemilik nama sebenar Nur Amalina Che Bakri itu lagi, kanak-kanak sepatutnya menikmati zaman mudanya dan tidak dikahwini atas nama agama.

Sehingga kini, perkongsian berkenaan dilihat terus menjadi perhatian dalam kalangan netizen. – Mynewshub.tv

Loading...