Istana Negara Sahkan Raja-Raja Melayu Akan Berunding

KUALA LUMPUR – Pihak Istana Negara mengesahkan satu rundingan Raja-Raja Melayu akan diadakan tidak lama lagi bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan pihak kerajaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, rundingan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

“Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

“Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri).

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan apakah cadangan-cadangan yang dibawa Perdana Menteri dalam pertemuan pukul 5 petang semalam antara pihak kerajaan dengan YDPA di Istana Abdul Aziz.

Sejak awal semalam, spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan akan mengumumkan darurat di seluruh negara.

Ada dakwaan mengatakan ia bertujuan bagi memastikan usaha membendung penularan Covid-19 dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh tanpa gangguan politik.

Ini berikutan situasi Covid-19 yang semakin serius dengan peningkatan jumlah kes dan kematian yang agak dramatik.

Namun, ada juga pihak yang beranggapan ia merupakan langkah terdesak Muhyiddin kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya secara teknikal sudah tumbang berikutan beberapa Ahli Parlimen menyatakan tidak lagi menyokong beliau.

Darurat dilihat cara Muhyiddin untuk terus mempertahankan jawatan beliau.

Kata Ahmad Fadil, sesi menghadap dimohon Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya, “ katanya. – Mynewshub.TV