Ismail Sabri Pertahan Pelantikan Muhyiddin Pengerusi MPN

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.

Beliau berkata, ini kerana Muhyiddin memegang jawatan tersebut sejak MPN  diwujudkan sekali gus kerajaan memberi kepercayaan kepada bekas Perdana Menteri itu menggalas tanggungjawab berkenaan.

Penjelasan itu susulan tindakan pembangkang yang mempersoal kegagalan Ahli Parlimen Pagoh tersebut menerajui negara selama 17 bulan.

“Dari segi MPN yang dipengerusi Ahli Parlimen Pagoh, memang Ahli Parlimen Pagoh telah menjadi Pengerusi sejak mula MPN diwujudkan. Jadi oleh sebab itu kita beri kepercayaan kepada beliau untuk teruskan tugas,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertayaan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) apakah kewajaran melantik Muhyiddin sebagai pengetusi MPN sambil mendakwa bekas perdana menteri itu gagal sebelum ini mengurus negara.

Pada 4 September lalu, Jemaah Menteri bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin memaklumkan beliau menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan. – UTUSAN ONLINE