Iskandar Antara Pesuruhjaya PAS Negeri Digugurkan

PAS mengumumkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat baharu yang menyaksikan Datuk Iskandar Samad meskipun kekal jawatan Naib Presiden namun ‘gugur’ sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi dilantik untuk menggantikan Iskandar. Turut sama digugurkan ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan Terengganu, Saiful Bahari Mamat.

Orang lama PAS, Datuk Mustafa Ali yang merupakan bekas Setiausaha Agung PAS; kini tidak lagi jadi Pengarah Pilihan Raya PAS. Jawatan itu sekarang disandang Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr. Ahmad Samsuri Mokthar.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS pertama selepas muktamar menjelaskan Iskandar diberi tanggungjawab baharu bersama dua Naib Presiden lain.

Iskandar akan berperanan dalam mengawal selia kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Negri Sembilan, Melaka dan Johor untuk persediaan parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Manakala Datuk Nik Mohamad Amar pula kawasan timur manakala Idris Ahmad di bahagian utara. Dua Naib Presiden parti tersebut secara kebetulan juga bukan merupakan Pesuruhjaya PAS di mana-mana negeri.

Mustafa pula kini akan berfungsi sebagai penasihat kepada parti. Takiyuddin juga memberitahu mesyuarat hari ini tidak menyentuh secara menyeluruh berhubung kerjasama politik atau tahaluf siyasi bersama PKR.

Ini kerana parti itu masih lagi menunggu keputusan muktamad Mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU). Menurutnya, usul pemutusan yang diluluskan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 itu hanya diberi tumpuan “sepintas lalu”.

“Ia hanya sepintas lalu. Kami tunggu keputusan MSU yang hingga kini masih belum diketahui bila akan diadakan,” kata Takiyuddin yang turut memaklumkan mesyuarat itu tidak menyentuh mengenai pergolakan politik Selangor.

“Bulan Jun nanti kita akan adakan mesyuarat PAS Pusat, pada masa itu kita akan bincang mengenai masalah politik semasa yang berlaku,” katanya merujuk keputusan untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR di Selangor.

Tambah Takiyuddin lagi, PAS tidak akan mengambil berat mengenai andaian, analisa atau telahan pihak luar yang mengatakan PAS konon akan mengalami kerugian besar jika tetap untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

“Itu andaian… itu analisa… pihak luar berhak untuk membuat andaian mereka. Di pihak PAS, kami tahu apa yang kami lakukan dan kami pun ada juga alternatif serta perancangan terhadap apa yang kami buat.

“PAS sudah wujud selama 66 tahun, kita akan mengambil kira setiap keputusan yang diambil. Kami juga ada jabatan penyelidikan untuk membuat perancangan atas setiap keputusan yang dibuat,” kata Takiyuddin.

Bercakap mengenai nama-nama di dalam Ahli Jawatankuasa Kerja PAS bagi sesi kali ini, beliau yakin nama yang disenaraikan itu mampu menguatkan parti tersebut dalam menempuh Pilihan Raya Umum akan datang.

Kebanyakan nama yang dilantik merupakan daripada golongan profesional dan berkebolehan untuk menghadapi PRU akan datang. Berikut adalah senarai AJK PAS Pusat yang diumumkan parti itu:

Setiausaha Agung: Datuk Takiyudin Hassan
Bendahari: Razman Zakaria menggantikan Mohammad Nor Mohamad
Ketua Penerangan: Nasrudin Hassan
Ketua Pengarah Pilihan Raya: Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Penolong Setiausaha Agung 1: Khairul Faizi Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung 2: Khairul Fahmi

Ahli Jawatankuasa Pusat yang dilantik:
Ahli Jawatankuasa 1 : Mohd Sanusi Md Nor
Ahli Jawatankuasa 2 : Saiful Bahri Mamat
Ahli Jawatankuasa 3 : Mohamad Hussain
Ahli Jawatankuasa 4 : Dr Mohd Khalid Kassim
Ahli Jawatankuasa 5 : Zainal abidin Kidam
Ahli Jawatankuasa 6 : Datuk Dr Abdul Hakeem Johari
Ahli Jawarankuasa 7 : Wan Rohimi Wan Daud

Nota: Selain mereka, ada lagi 18 orang Ahli Jawatankuasa Pusat PAS yang menang bertanding jawatan semasa pemilihan di muktamar PAS.

Pesuruhjaya PAS Negeri:
1. Kelantan – Datuk Ahmad Yaakob
2. Terengganu – Datuk Husin Awang
3. Perlis – Mohd. Shukri Ramli
4. Perak – Razman Zakaria
5. Selangor – Sallehen Mukhyi
6. Sabah – Paumin @ Mohd. Aminuddin Aling
7. Sarawak – Jofri Jaraiee
8. Wilayah Persekutuan – Mohammad Noor Mohamad
9. Melaka – Kamarudin Sidek
10. Kedah – Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi
11. Johor – Abdullah Hussin
12. Pulau Pinang – Mohd. Fauzi Yusof
13. Pahang – Rosli Abdul Jabar
14. Negeri Sembilan – Mustafa Daharun

– Mynewshub.cc/HAA

Loading...