Isa Samad Bebas Satu Pertuduhan Pecah Amanah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), enam tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali melepaskan dan membebaskan Mohd Isa, 71, daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT) berhubung pembelian hotel itu bagi RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata terdapat keterangan berwibawa terhadap Mohd Isa dalam sembilan pertuduhan itu.

“Kes prima facie telah dibuktikan. Dengan ini saya memerintahkan Tan Sri Isa membela diri terhadap sembilan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Mohd Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Disember, 2015.

Setiap pertuduhan rasuah itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan CBT, Mohd Isa sebagai pengarah FICSB dan diamanahkan dengan dana syarikat dituduh melakukan CBT dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak bagi RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan itu Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC pada 29 April, 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 14 Januari tahun ini selepas perbicaraan berlangsung 15 hari dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Loading...