TEGAS… Bukan setakat cakap kosong sahaja, malah Tan Sri Irwan Serigar Abdullah tampil buat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Ia berhubung dakwaan palsu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelmarin konon RM19.4 bilion dalam dana amanah pembayaran balik tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjaya ‘dirompak’ Barisan Nasional (BN).

Menurut bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu, laporan dibuat bagi SPRM membuat siasatan mengenai dakwaan Guan Eng ketika gulung perbahasan Rang Undang-undang GST (Pemansuhan) pada sidang Dewan Rakyat.

“Benda tu tak berasas (tuduhan), yang saya nak benda terperinci (laporan) pasal dia kata kehilangankan (walhal) benda tu masuk dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan,” kata Irwan ketika ditemui pemberita.

Baca: Tiada Kehilangan Wang Bayaran Balik Kutipan GST

Beliau yang hadir secara bersendirian ke SPRM pada pukul 9.30 pagi kemudian dilihat meninggalkan perkarangan ibu pejabat agensi tersebut pada pukul 11.45 pagi. SPRM ujarnya beri jaminan akan melakukan siasatan telus.

Ditanya adakah beliau turut mengemukakan dokumen sebagai bahan bukti kepada pihak penyiasat SPRM, Irwan menjelaskan bahawa segala dokumen mengenai dana tersebut ada di pejabat Kementerian Kewangan sendiri.

Kelmarin, Guan Eng mendakwa wang bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion kononnya telah hilang akibat ‘dirompak’ di bawah pentadbiran BN sebelum ini ketika jawab soalan wakil BN Rembau, Khairy Jamaluddin.

Semalam Irwan turut tampil pada sidang media di Putrajaya menjelaskan isu tersebut setelah dicabar Guan Eng, sekali gus menyebabkan Setiausaha Agung DAP itu berada dalam keadaan ‘kantoi’. – Agensi/Mynewshub.

Loading...