Iran Mengaku Tembak Jatuh Pesawat Ukraine

TEHRAN – Iran mengaku bahawa tenteranya secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine yang mengorbankan 176 penumpang dan anak kapal pada awal pagi Rabu lalu.

Kenyataan itu yang disiarkan oleh televisyen rasmi kerajaan Iran menyebut, ‘kesilapan manusia’ adalah menjadi penyebab utama tragedi itu dan Iran berjanji akan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh Ukranian International Airlines telah ditembak jatuh sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Teheran.

Ketika kejadian tersebut, Iran baharu sahaja melancarkan 22 misil balistik ke arah dua pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS).

Untuk beberapa hari, Iran menafikan sekeras-kerasnya menembak jatuh pesawat itu walaupun beberapa pakar termasuk Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menuduh negara itu bertanggungjawab.

Ketua Penerbangan Awam Iran menafikan peluru berpandu punca pesawat Ukraine terhempas dan mengorbankan semua 176 orang, sekali gus menolak dakwaan ia disebabkan kesilapan pertahanan udara Teheran.

Kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar itu dibuat selepas Britain dan Kanada didakwa menunjukkan tanda-tanda serangan misil.

“Satu perkara yang pasti, pesawat itu tidak diserang oleh peluru berpandu,” kata Ali Abedzadeh. – Sinar Harian

Loading...