“Insya-ALLAH Kita Masuk Pintu Depan” – Hadi

KOTA BHARU – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak akan sesekali menggunakan pintu belakang bagi mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.

Sebaliknya beliau berkata, pihaknya berpendirian untuk mengikut saluran sedia ada seperti diamalkan PAS sebelum ini.

“Saya rasa demokrasi macam masuk Parlimen. Ikut pintu Parlimen. Mesti ikut proses undang-undang yang betul. Insya-ALLAH kita masuk pintu depan.

“Cuma kita tahu, ada yang yang nak jadi Perdana Menteri melalui pintu belakang,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Syarahan Perdana: Pemetaan Baru Dunia Sempena Tiga Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kompleks Balai Islam, Lundang.

Turut hadir, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sementara itu, menurutnya, Muafakat Nasional yang dimeterai bersama UMNO peroleh kejayaan dan perkara itu dibuktikan dengan pencapaian melalui beberapa pilihan raya kecil (PRK).

“Apa yang penting, Muafakat Nasional sudah berjaya menyatukan umat Islam dan memberi keyakinan kepada sebahagian daripada yang bukan beragam Islam,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung hasrat pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan perkara tersebut belum pun diputuskan kerajaan buat masa ini.

“Mungkin isu ini dikeluarkan sebab mahu tutup masalah dalam PH itu sendiri,” katanya. – Sinar Harian

Loading...